PENJAGA gol Sarawak, Mohd Shahril Sa’ari (dua dari kiri) cuba menyelamatkan bola hasil percubaan pemain Perak.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Perak melangkah ke pusingan ketiga Piala FA apabila menewaskan Sarawak 3-1 dengan dua gol dijaringkan pada masa tambahan selepas kedudukan terikat 1-1 perlawanan sebenar di Stadium Perak, di sini, semalam.

Dua pemain muda Perak Firdaus Saiyadi dan Ahmad Khairil Anuar menjadi wira apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-91 dan minit 112.

Babak pertama menyaksikan pasukan pelawat yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagopal mengejutkan penonton tuan rumah menerusi jaringan J Partiban pada minit ke-17 selepas melakukan sepakan deras berpunca daripada hantaran silang rakan sepasukan.

Tersentak dengan gol itu, Perak cuba melakukan serangan balas namun gagal memecah benteng pertahanan Sarawak yang dikemudi kapten pasukan Ronny Harun dan pemain import David Gressi.

Berselang babak kedua, anak buah Syamsul Saad bagai mendapat tonik baru apabila mengasak bertali arus ke kubu lawan sebelum kemasukan pemain sayap Nurridzuan menambahkan lagi kekuatan pasukan.

Akhirnya, gol Perak menjelma pada minit ke-83 menerusi tandukan cantik pertahanan Thiago Junior De Aquino selepas menerima hantaran Eric Weeks Lewis.

Jaringan itu memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:09 AM