TEKANAN berpanjangan dikatakan boleh tingkatkan risiko penyakit Alzheimer’s.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Adakah anda termasuk dalam golongan yang cepat berasa tertekan dengan perkara yang kecil dan boleh dianggap remeh? Jika ya, sudah sampai masa untuk anda belajar bertenang dan berfikiran terbuka supaya kesan buruk tekanan yang berpanjangan ini tidak berkumpul sehingga boleh menjejaskan kesihatan.

Kajian terbaru menunjukkan tekanan yang tidak diuruskan dengan baik boleh menjadi faktor risiko untuk mengalami masalah pemikiran yang akhirnya dikatakan akan mendekatkan kita dengan penyakit Alzheimer’s (nyanyuk). Jangan salah faham, kajian itu tidak mengatakan tekanan yang berpanjangan akan menyebabkan Alzheimer, tetapi ia boleh meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit itu.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Alzheimer ­Disease and Associated Disorder dalam talian pada Disember tahun lalu itu membentangkan data daripada 500 responden dewasa berusia 70 tahun dan ke atas.

Dalam kajian berkenaan, responden diberikan kertas soal selidik untuk mengetahui tahap tekanan mereka. Pada permulaan kajian, tidak ada seorang pun yang menunjukkan tanda demensia (bentuk gangguan mental dengan fungsi kognitif dan intelek yang banyak terganggu).

Penyelidik kemudiannya mengikuti perkembangan setiap responden selama lebih tiga tahun. Setiap tahun, responden akan menjalani satu siri ujian yang berkaitan kehidupan seharian, daya ingatan dan keupayaan mereka berfikir dengan jelas.

Responden yang mendakwa mereka berasa sangat tertekan mempunyai risiko 30 peratus lebih tinggi untuk mengalami gangguan kognitif (pemikiran menjadi lemah). Risiko ini kekal selepas mengambil kira gejala kemurungan yang ditunjukkan responden, umur, jantina, tahap pendidikan dan faktor risiko genetik untuk mendapat penyakit Alzheimer’s.

Penemuan itu tidak mengejutkan, kata pakar neurologi di Institut Neurosains North Shore-LIJ’s Cushing di Manhasset, New York, Dr Luca Giliberto.

“Tekanan kardiovaskular termasuk kenaikan kadar degupan jantung dan tekanan darah boleh menjadi perangsang peningkatan risiko pada individu yang stres. Ia boleh membawa kepada demensia vaskular.

“Malah orang yang stres selalunya mempunyai tabiat yang tidak sihat seperti merokok dan kurang bersenam. Semua ini diketahui menjadi faktor risiko kepada kemerosotan kognitif secara umum, tidak terhad pada penyakit Alzheimer’s saja,” katanya.

Walaupun tekanan bukan menjadi punca kepada penyakit yang menakutkan itu, tetapi ia perlu ditangani sebaiknya kerana banyak kajian terdahulu menunjukkan kesan negatifnya ke atas kesihatan secara menyeluruh. Bahkan ia juga boleh memberi tempias kepada individu di sekeliling kita terutama ahli keluarga dan rakan sekerja.

Menurut Naib Pengerusi Neurologi Montefiore dan Kolej Perubatan Albert Einstein di New York City, Dr Richard Lipton yang turut menjadi ketua penyelidikan berkenaan, ada banyak pendekatan yang boleh mengurangkan tekanan termasuk terapi perlakuan, meditasi dan yoga.

Pakar Neurologi di Hospital Lenox Hill di New York City, Dr Gayatri Devi pula memberitahu bahawa tidur yang mencukupi amat penting untuk mengurangkan tekanan.

“Ramai orang memandang remeh kepentingan tidur. Tidur boleh dikatakan satu kaedah yang paling berkesan, cekap, murah dan boleh didapati dengan mudah untuk mengurangkan tekanan. Ia tidak perlu dipelajari kerana sejak lahir kita memang dikurniakan dengan kepakaran untuk tidur,” katanya.

Meskipun kajian tidak menunjukkan kaitan bagaimana tekanan boleh menjejaskan keupayaan berfikir, namun Devi berkata, masalah kognitif dan tekanan sebenarnya saling berkait. Ini kerana tekanan akan meningkatkan paras hormon kortisol dalam badan dan mengurangkan ketumpatan sel saraf dalam otak.

“Tekanan juga akan meningkatkan paras beberapa neurotransmiter (pengutus neuro) dalam otak dan merendahkan yang lain. Apabila keadaan ini berlaku, otak tidak dapat bekerja dengan cekap dan tekanan mungkin memainkan peranannya dalam kematian sel otak yang berlaku pada penyakit Alzheimer’s.

“Apabila kita bertambah tertekan, sistem imun juga akan lemah dan kita lebih mudah mengalami jangkitan. Fungsi imun ini juga dikatakan ada kaitannya dengan penyakit Alzheimer’s,” katanya.

Dalam laporan yang disiarkan oleh laman berita kesihatan HealthDay, Giliberto berkata, kemahiran menangani tekanan perlu dipelajari. Pakar perubatan sepakat mengatakan tiada resipi ajaib untuk menghilangkan tekanan tetapi ia boleh dikurangkan dengan pelbagai cara. Namun apa yang paling penting ialah kita perlu menyedari dan mengakui bahawa kita mengalami tekanan, katanya.

“Ramai orang menjalani hidup yang penuh tekanan. Ia bukan saja tidak baik untuk kesihatan, bahkan boleh menjejaskan produktiviti seseorang. Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan tekanan ialah amalkan pemakanan sihat dan seimbang, bersenam setiap hari (sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit), kurangkan pengambilan ubat (tanpa arahan doktor) dan tidur secukupnya.

“Sudah banyak yang membuktikan bahawa antara penawar terbaik kepada tekanan ialah melakukan apa yang boleh membuatkan kita gembira - contohnya menyanyi, berjalan-jalan di taman atau meluangkan masa bersama ahli keluarga, cucu dan kawan-kawan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 10:03 AM