ICARDI (kiri) bantu Inter benam Sampdoria.

Milan: Pemain Argentina Mauro Icardi menghasilkan gol pada lewat permainan ketika Inter Milan bangkit mempamer gaya seorang juara sebelum menang 3-1 ke atas Sampdoria sambil diperhatikan penuh minat oleh bekas jurulatih Jose Mourinho dan bekas penyerang Ronaldo, awal pagi semalam.

Inter hanya menang sekali sepanjang tujuh perlawanan terakhir dan terdesak untuk memperoleh tiga mata selepas tewas 1-2 di tangan Fiorentina hasil jaringan lewat permainan Khouma Babacar minggu lalu.

Keputusan itu merosakkan peluang Inter untuk menjulang Serie A tetapi skuad kendalian Roberto Mancini itu antara beberapa pasukan yang sedang memburu salah satu daripada tiga tempat teratas bagi membolehkan mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan ke-14 Inter sepanjang 26 perlawanan itu melonjakkan mereka ke tangga keempat, 10 mata di belakang pendahulu Juventus tetapi hanya satu mata di belakang Fiorentina yang menduduki tempat ketiga.

“Penting bagi kami untuk menang malam ini. Apabila anda mengharungi tempoh sukar, anda perlu tahu bila masa paling tepat untuk mengubah keadaan dan mencuri semua peluang yang ada,” kata Mancini.

Jika Mancini berasa tertekan selepas kekalahan minggu lalu, beliau pasti mempunyai sebab untuk lebih gundah apabila kelab itu mengumumkan Mourinho serta Ronaldo adalah undangan istimewa di San Siro untuk perlawanan menentang Sampdoria. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 10:44 AM