TEMA Konsert Muzika Ekstravaganza gabungan Malaysia, Singapura pada 19 Februari lalu.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Bertemakan memperingati Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Konsert Muzika Ekstravaganza gabungan Malaysia dan Singapura berlangsung dengan meriah pada 19 Februari lalu.

Antara penyanyi yang beraksi pada konsert itu ialah Siti Nordiana, Nassier Wahab, Farahdhiya, Azlan (The Typewriter), Hafiz Suip, Azhael, Taufik Batisah, Sufi Rashid, Sezairi, Hariani Hassan Bakri, Rosalina dan Mimi.

Menurut Penerbit Konsert Muzika Ekstravaganza (RTM), Azman Hashim, pihaknya ada objektif ketika memilih Allahyarham P Ramlee sebagai tema konsert kali ini.

“Tema P Ramlee dipilih kerana kami ingin mempersembahkan sesuatu yang akan diingati penonton sempena edisi ke-10 penganjuran Konsert Muzik Ekstravaganza.

“Allahyarham P Ramlee seniman agung dan kami tidak mahu gerenasi muda melupakan namanya,” kata Azman.

Sambung Azman, dia berpuas hati apabila konsert pada malam itu berjalan lancar.

“Melihat reaksi positif penonton, saya berpuas hati dengan konsert kali ini.

“Selain itu, kami turut menerima maklum balas memberangsangkan daripada penonton di laman sosial,” katanya.

Penerbit Konsert Muzika Ekstravaganza (MediaCorp), Fadila Wahid merakamkan ucapan terima kasih kepada penonton setia Konsert Muzika Esktravaganza.

“Di Singapura, program ini antara yang dinanti penonton. Setiap tahun, ia mendapat ratin tinggi.

“Saya mewakili MediaCorp dan Konsert Muzika Ekstravaganza ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penonton kerana setia menyokong konsert ini,” katanya.

Bagi Siti Nordiana yang pertama kali terbabit dengan konsert itu, dia berasa teruja dan bertuah.

“Ini konsert besar menggabungkan dua negara. Semestinya saya sangat teruja dan bangga dapat berkongsi pentas de­ngan rakan artis dari Malaysia dan Singapura,” katanya.

Penyanyi kelahiran Singapura, Sufi Rashid mengakui terharu apabila diberi peluang menghiburkan penonton Konsert Muzika Ekstravaganza.

“Saya antara penyanyi baru yang bertuah kerana terpilih menjayakan konsert ini. Ini pembabitan pertama saya dan sudah tentu ia satu penghormatan buat saya.

“Banyak ilmu baru saya peroleh daripada penyanyi senior. Syukur,” katanya.

Antara lagu dendangan P Ramlee yang dipersembahkan adalah Bunyi Gitar, Tidurlah Permaisuri, Malam Bulan Dipagar Bintang dan banyak lagi.

Persembahan artis dua negara itu diiringi muzik gabungan Orkestra RTM pimpinan Jimmy Ali dan Orkestra MediaCorp (Amri Amin).

Konsert Muzika Ekstravaganza turut menampilkan Ungku Aziz dan Nadiah M Din sebagai pengacara.

Konsert yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri itu dipancarkan secara langsung di saluran TV2 (Malaysia) dan MediaCorp (Singapura).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 1:32 PM