BERNAMA

Putrajaya: Tiga lelaki disabitkan kesalahan menculik seorang budak lelaki Belanda pada 2012, terlepas hukuman gantung hari ini tetapi terus menjalani hukuman penjara seumur hidup dan dikenakan enam sebatan.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Zakaria Sam sebulat suara membuat keputusan menolak rayuan mereka atas sabitan dan hukuman.

Panel yang sama terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Badariah Sahamid dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Karim Abdul Jalil turut menolak rayuan balas pendakwa terhadap hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha memohon hukuman mati dikenakan terhadap Chong Tat Siong, Foong Khar Fai dan Lee Phak Seng dengan hujah kesalahan itu serius, mengancam ketenteraman awam dan kes menculik kanak-kanak kerap berlaku.

Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Hakim Zakaria berkata tidak terdapat merit dalam rayuan oleh perayu dan rayuan balas pendakwa.

Panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 September tahun lalu, mensabitkan Chong, 28, yang bekerja sendiri; Foong, 24, penjual handfon; dan

Lee, 27, penganggur, kerana menculik budak lelaki berusia 12 tahun ketika itu, dengan niat mendapatkan wang tebusan RM300,000.

Mereka didapati bersalah melakukan jenayah itu bersama seorang lagi yang masih bebas, di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 27 April, 2012.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan terhadap ketiga-tiga mereka.

Budak itu, kini berusia 16 tahun, ditemui selamat di tempat rehat di Rawang dengan wang tunai RM50 pada 3 Mei, 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:35 PM