PERSEMBAHAN Dayang memukau penonton pada persaingan minggu kedua separuh akhir Muzik-Muzik 29.
PERSEMBAHAN Najwa dan I Am Neeta.
DUET Zizan dan Kaka menjadi.
11 PENYANYI yang bertanding pada persaingan minggu kedua Muzik-Muzik separuh akhir.
Oleh Ramlah Zainal


Lagu Di Pintu Syurga dendangan penyanyi popular Dayang Nurfaizah ciptaan komposer Tam Spider dan lirik Iman Imran dinobatkan sebagai lagu terbaik pada persaingan minggu kedua separuh akhir Muzik-Muzik 29 yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam di sini, baru-baru ini.

Ternyata kekuatan lagu itu berjaya menawan hati barisan juri pada malam itu yang diketuai Azmeer sekali gus memberikan saingan sengit kepada 10 lagi lagu yang bertanding pada malam berkenaan.

Secara peribadi, Dayang mengakui dia bersyukur kerana lagu dendangannya itu dinobatkan sebagai lagu terbaik pada malam berkenaan.

"Setiap lagu yang bertanding pada minggu kedua ini memiliki kelebihan masing-masing. Bagi saya, lagu Di Pintu Syurga pula menampilkan lirik dan melodi yang tepat, menyentuh jiwa dan boleh pergi lebih jauh lagi.

"Ini adalah pertandingan lagu dan sebagai penyanyi, tanggungjawab saya adalah memberi yang terbaik dalam persembahan. Justeru, bila lagu dendangan saya ini dipilih sebagai Lagu Terbaik pastinya ia turut menyuntik semangat untuk memberikan yang lebih baik lagi," katanya.

Walaupun dirinya paling berpengalaman, Dayang mengakui dia tetap berasa gementar setiap kali beraksi di pentas persembahan seperti Muzik-Muzik. Kali terakhir, Dayang menyertai pertandingan Muzik-Muzik ialah menerusi lagu Erti Hidup enam tahun lalu.

"Maklumlah, ia pertandingan membabitkan lagu dan sebagai penyanyi, saya turut membawa harapan yang tinggi daripada komposer dan penulis lirik lagu ini.

"Namun, saya tetap akur seandainya lagu Di Pintu Syurga tidak terpilih ke peringkat akhir kerana saya difahamkan lagu yang dinobatkan lagu terbaik tidak semestinya layak untuk mara ke peringkat akhir kerana semuanya bergantung pada keputusan barisan juri," katanya.

Meskipun lagu dendangannya, Matahari tidak dipilih sebagai lagu terbaik pada minggu kedua, Muzik-Muzik separuh akhir, penyanyi popular Hafiz Suip tidak kecewa dan menerima keputusan juri dengan hati terbuka.

"Lagu dendangan Dayang iaitu Di Pintu Syurga memang layak diangkat sebagai lagu terbaik pada minggu kedua ini kerana selain persembahan yang mantap, dia juga mempunyai vokal yang hebat dan sukar digugat artis baru di luar sana," katanya.

Ditanya peluang lagu Matahari untuk ke peringkat akhir pula, kata Hafiz, dia hanya buat yang terbaik dan selebihnya terpulang pada penilaian pihak juri.

"Saya percaya lagu Matahari ciptaan komposer Ajai dan lirik oleh Transformer Melayu ini memiliki kekuatan dari segi mesejnya kerana ia bercorak ketuhanan. Sebagai artis, pastilah saya menaruh harapan lagu ini berjaya ke peringkat akhir nanti," katanya.

Antara artis muda yang menyerlah pada persaingan minggu kedua ialah bintang yang digilap dari Akademi Fantasia, Indah Ruhaila.

Pada malam itu, Indah berjaya memukau penonton ketika mendendangkan lagu Percayalah ciptaan komposer Aiman dan liriknya oleh Mohd Atlas itu. "Terus terang, saya turut berasa gementar ketika membuat persembahan pada malam itu. Maklumlah, saya perlu bersaing dengan penyanyi senior seperti Dayang yang sudah 15 tahun dalam bidang nyanyian.

"Apapun, saya sudah berusaha buat yang terbaik pada malam ini dan akur lagu terbaik menjadi milik Di Pintu Syurga dendangan Dayang.

"Apapun, saya turut menaruh harapan lagu Percayalah akan mara ke peringkat akhir dan pastinya saya ingin menampilkan persembahan yang lebih baik lagi nanti," katanya.

Sementara, lapan lagi lagu yang turut bersaing pada persaingan minggu kedua separuh akhir Muzik-Muzik 29 ialah Infiniti Cinta dendangan Zizan Razak & Kaka ciptaan komposer Audi Mok & Omar K serta liriknya oleh Khalif.

Selain itu, Kau Pergi Jua dendangan I Am Neeta & Najwa Latif (komposer/lirik Patrick Nahoda), Aku Juga Manusia dendangan dan ciptaan (komposer/lirik Amir Jahari), Rindukanlah dendangan Encik Mimpi (komposer/lirik Rumhadi), Gadis Jolobu dendangan Waris & Datuk Hattan (komposer DJ Fuzz/lirik Waris/Hattan), Encik Mimpi turut bertanding menerusi satu lagi lagu ciptaannya sendiri berjudul Ayuh Tinggalkan Dia.

Tidak ketinggalan, lagu Arjuna Beta dendangan Fynn Jamal (komposer/AG Coco & Fynn dan lirik Fynn), Ayuh Tinggalkan Dia (Encik Mimpi), Pasti Sempurna dendangan Kristal & Ronnie (komposer Akir Hyper Act/lirik Frozen).

Sementara itu, sembilan lagi lagu terakhir akan memberikan saingan pada Jumaat ini sebelum 12 lagu terpilih bakal berentap di pentas utama Anugerah Juara Lagu 29 (AJL) pada 18 Januari depan.

Barisan juri yang menilai lagu yang bakal dibawa ke pentas AJL nanti adalah Edrie Hashim, Damian Mikhail, Helen Yap, LY, Ad Samad, Dato' Mokhzani dan Azmeer selaku ketua juri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:01 AM