KEADAAN rumah selepas terbakar. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Haji Yusof, Linggi, malam tadi.

Kebakaran berlaku 11.35 malam itu turut mengakibat kereta milik keluarga terbabit terbakar 50 peratus.

Ketua Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Jamil Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.43 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Kami tiba 12.03 tengah malam dan api sudah membakar hampir keseluruhan rumah," katanya.

Katanya, buat sementara waktu, semua mangsa menumpang di rumah saudaranya tidak jauh dari situ.

"Bomba mengambil masa hampir dua jam untuk memadamkan keseluruhan api.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihaknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 1:38 PM