Noor Hashim (dua dari kanan) menunjukkan peralatan pecah rumah yang dirampas daripada suspek yang ditahan di Taman Nusantara Gelang Patah ketika sidang media di IPD Iskandar Puteri. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein

Iskandar Puteri: Polis menahan lelaki berusia 32 tahun yang cuba pecah rumah di Taman Nusantara, Gelang Patah di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 5 pagi, suspek yang berasal dari Gelang Patah itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, menyedari kehadiran polis yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan, suspek cuba melarikan diri dan meninggalkan kereta yang dinaikinya.

"Polis kemudian bertindak mengejar lelaki berkenaan dan berjaya menahannya di kaki lima hadapan sebuah rumah kedai di Taman Nusantara di sini.

"Pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menjumpai pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah. Kereta itu juga didapati adalah kereta yang dicuri di sekitar daerah ini pada sambutan Tahun Baru Cina yang lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 4:33 PM