BERNAMA

Putrajaya: Seorang guru sekolah rendah dihukum penjara 18 tahun dan 10 sebatan kerana melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak perempuan tirinya berusia tujuh tahun.

Mahkamah Rayuan yang disidangi tiga hakim dipengerusi Hakim Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan rayuan pihak pendakwa untuk mengetepikan keputusan membebaskan lelaki berusia 58 tahun itu daripada pertuduhan kedua melakukan sumbang mahram pada 2011.

Budak perempuan berkenaan yang ketika itu berusia tujuh tahun lima bulan, ialah anak bekas isterinya hasil perkahwinan wanita berkenaan sebelumnya.

Hakim Zakaria menolak rayuan pendakwa terhadap pembebasan lelaki itu daripada pertuduhan pertama tetapi membenarkan rayuan untuk mensabitkannya bagi pertuduhan kedua.

Bapa tiri mangsa ketika itu, dibebaskan Mahkamah Sesyen Teluk Intan daripada dua pertuduhan merogol dan keputusan membebaskannya dikekalkan Mahkamah Tinggi Ipoh.

Lelaki berkenaan yang akan bersara November ini, dilihat menggelengkan kepalanya dan memandang ke arah isterinya sekarang yang duduk di galeri awam.

Ketika menjatuhi hukuman, Hakim Zakaria berkata mahkamah memandang serius kesalahan sumbang mahram dan mengambil kira mangsa berusia tujuh tahun ketika kejadian yang terlalu muda untuk menanggung penderitaan akibat perbuatan mangsa.

Hakim Zakaria berkata, lelaki itu sebagai seorang dewasa dan guru sekolah harus bertanggungjawab melindungi kanak-kanak.

Panel itu juga disidangi hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zamani A. Rahim dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamardin Hashim.

Lelaki itu, guru pendidikan jasmani didapati bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Tanjung Malim, Perak, kira-kira 8 pagi, 13 Jun 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 7:07 PM