SEMUA delegasi mengenakan peranti Samsung Gear VR dalam satu sesi demonstrasi untuk merasai pengalaman sebenar inovasi pengimejan dan video.
SEORANG daripada delegasi mencuba Samsung Gear VR di dalam bilik demo khas.
PENGASAS dan CEO Facebook, Mark Zuckerberg turut dijemput bagi menyampaikan ucapan.
KAMERA baru Samsung Gear 360 yang dipamerkan selepas pelancarannya.
DJ Koh menunjukkan Samsung S7 dan S7 Edge dalam ucaptamanya pada majlis Samsung Galaxy Unpacked 2016 sempena Kongres Mudah Alih Dunia di Barcelona, Sepanyol.
Oleh Afiq Hanif


Pelancaran siri Galaxy Unpacked 2016 yang dianjurkan Samsung Electronics (Samsung) kali ini ada kelainan meskipun masih mengekalkan dewan yang sama ketika mereka melancarkan model Galaxy S6 dan S6 edge, tahun lalu untuk menjadikannya kelihatan lebih gempak.

Ia banyak dibantu inovasi pentas mengagumkan apabila empat sudut tempat duduk menghadap pentas di tengah berbanding kaedah pentas tradisional yang kerap ditempatkan di depan dengan penonton disusun berbaris dari depan hingga ke belakang.

Presidennya, DJ Koh menyampaikan ucaptamanya sambil menghadap empat sudut untuk mewujudkan suasana lebih interaktif dan nampak hidup.

Unpacked 2016 diselitkan dengan inovasi realiti maya (VR) apabila tiga kali tetamu termasuk media perlu memakai Gear VR untuk pembentangan yang berbentuk 360 darjah.

Sudah pasti, ia relevan terutama dengan kehadiran produk dan fungsi baru dalam telefon pintar yang didedahkan Samsung.

Dalam ucapannya, Koh berkata, syarikatnya berusaha membuka segala sempadan untuk membangunkan inovasi yang berinspirasikan pengguna.

“Beritahu kami yang dunia ini bukanlah terlalu leper dan kami akan tunjukkan bagaimana galaksi yang membentuk masa depan,” katanya yang merujuk kepada pelancaran satu produk Samsung iaitu Galaxy S7 edge yang mempunyai skrin lengkung di kedua-dua sisi telefon terbabit.

Ia sekali gus mendedahkan tiga produk Samsung iaitu Galaxy S7, S7 edge dan kamera berbentuk bulat, Gear 360.

Rekaan kedua-dua telefon itu mengembalikan semula slot kad memori mikroSD untuk membolehkannya menampung kapasiti storan sehingga 200GB manakala kemampuan bateri ditambah kepada 3000 serta 3600mAh bagi S7 dan S7 edge.

“Kami mendengar apa yang pengguna mahukan,” kata Koh apabila Samsung tidak menyediakan slot terbabit pada model sebelum ini dan bergantung harap hanya pada storan dalaman 32GB.

Slot tambahan yang ditempatkan di bahagian atas bersama slot kad SIM memberi nafas lega apabila kebanyakan pengguna yang berselfie, memasang banyak aplikasi dan kandungan mewah memerlukan memori tambahan.

Sudah pasti, ia langkah paling tepat Samsung mengembalikan semula ciri penting berkenaan.

Menariknya, Samsung juga menetapkan standard IP68 pada kedua-duanya untuk menjadikannya kalis air dan habuk.

Mengapa ia penting terutama kepada pengguna Malaysia? Samsung sebelum ini pun sudah memiliki ciri terbabit pada model S5, namun ia dibuang pada S6.

Tabiat pengguna di negara ini yang mungkin sering lalai ketika memegang telefon terutama dalam tandas atau ketika hujan memerlukan ciri terbabit.

Samsung turut memperkenalkan ciri baru sempena penambahbaikan sebanyak 30 peratus pada CPU dan 60 peratus pada GPU berbanding S6 apabila memasukkan fungsi ‘game launcher’ atau pelancar game yang mana ia menempatkan aplikasi game yang popular dalam kalangan pengguna telefon pintar.

Pelancar game juga akan menentukan sekiranya pengguna mahu mengoptimumkan kecerahan, penjimatan bateri atau menutup sebarang notifikasi sekiranya sedang bermain game.

Manfaat CPU dan GPU baru Samsung juga menjadikan masa bermain lebih lama mampu dicapai dengan tambahan keupayaan bateri 3000mAh dan 3600mAh pada S7 serta S7 edge.

S7 edge pula mempunyai lebih evolusi apabila bahagian tepi kini boleh ditetapkan dengan dua baris yang menempatkan ikon berbanding hanya sebelah sebelum ini.

Ia juga menjadi telefon pintar pertama yang mempunyai API Vulkan manakala Samsung meneruskan fungsi cas pantas pada kedua-dua telefon ini.

Kemampuan kamera pula lebih baik apabila apertur seluas f1.7 memasukkan lebih banyak cahaya untuk merakam lebih jelas dalam situasi yang gelap.

Merakam foto ketika dalam pencahayaan malap juga kini bukan lagi masalah dengan penambahbaikan pada S7 dan S7 edge yang membenarkan lebih 56 peratus cahaya masuk berbanding S6.

Ciri dinamakan Phase Detection Pixel menjadikannya 100 peratus lebih baik berbanding model lama.

Kedua-dua telefon ini akan dijual di Malaysia pada 18 Mac nanti.

Sementara itu, kamera Gear 360 memungkinkan rakaman imej pada 360 darjah dengan dua lensa jenis ‘fisheye’ di depan dan belakang yang mana kedua-duanya beresolusi sehingga 30 megapiksel.

Ia dipasangkan dengan aplikasi khas yang memproses imej dan boleh dipindah turun ke YouTube, Facebook atau Google Street View.

Pengguna juga boleh merakam video sudut lebar sehingga 180 darjah dan imej dengan hanya menggunakan satu sisi lensa kamera.

Dibina untuk merakam pada bila-bila masa, Gear 360 menawarkan lensa F2.0 yang mewujudkan imej resolusi tinggi walaupun dalam keadaan cahaya rendah yang mana pengguna boleh membuat video panorama penuh.

Dengan reka bentuk sefera, Gear 360 mempunyai tripod yang mesra pengguna dan juga serasi dengan pilihan lebih luas untuk aksesori yang boleh didapati di pasaran.

Apabila Gear 360 dipadankan dengan telefon pintar Samsung, pengguna akan dapat pratonton kandungan dalam masa sebenar ketika rakaman.

Untuk pengalaman menonton 360 darjah yang sebenar, pengguna boleh menonton kandungan dicipta sendiri melalui Gear VR.

Gear 360 serasi dengan telefon pintar Samsung termasuk Galaxy S7 dan Galaxy S7 edge yang baru dikeluarkan, Galaxy S6 +, Nota 5, Galaxy S6 edge dan Galaxy S6.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 11:07 AM