DATUK M Daud Kilau.
DAUD Kilau dan SA Ayesha berduet.
DAUD Kilau mengajak penonton menari bersama.
Oleh Michelle Gun

Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa memperingati jasa dan pengorbanan tokoh seni suara tanah air.

Kali ini, Orkestra RTM berbesar hati untuk beraksi bersama penyanyi veteran tanah air, Datuk M Daud Kilau yang juga terkenal dengan jolokan Raja Gelek Malaysia.

Rakaman siri konsert ketiga Okestra RTM itu bersama beliau berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Sabtu lalu.

Istimewanya, konsert solo itu yang pertama beliau selama 55 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air.

Konsert itu membawa tema berbeza selain mengetengahkan lima segmen iaitu Buka Panggung, Melayu Asli, Kisah dan Teladan, Cinta dan Kasih serta Lagu Hit. Setiap segmen mempunyai jalan cerita tersendiri.

Persembahan beliau turut diiringi 44 pemuzik profesional Orkestra RTM yang diterajui pemimpin muzik berkaliber Jimmy Ali.

Selain persembahan Daud Kilau, konsert itu turut dimeriahkan dengan artis jemputan penyanyi tersohor Indonesia Dewi Yull, Haziq AF, SA Ayesha serta pengacara Linda Onn.

Tampil segak dengan baju Melayu serba lengkap, Daud Kilau sempat berkongsi dengan penonton mengenai karier nyanyiannya yang bermula selepas menjuarai Bintang Radio pada 1968.

"Minat nyanyian bermula sejak di bangku sekolah. Saya masih ingat ketika di darjah empat, guru memberi peluang kepada saya dan rakan kelas untuk menyanyi sebelum pulang rumah," katanya.

Menurutnya, dia kemudian menyertai pertandingan nyanyian di peringkat kampung sebelum mencuba nasib di Bintang Radio.

"Saya bersyukur kerana dapat lahir di dunia ini sebagai penghibur. Sepanjang terbabit dalam bidang nyanyian, ini kali pertama saya mengadakan konsert secara solo," katanya.

Pada usia emas 76 tahun, Daud Kilau masih cergas dan mampu bergelek di pentas. Persembahan beliau bermula dengan dendangan lagu hit Sirih Pinang yang menaikkan namanya dalam industri seni tanah air pada tahun 70-an.

Lagu lain termasuk Laksamana Raja Di Laut, Lela Manja, Anak Ku Yang Pertama, Pinta Dan Doa, Gila Judi dan Hutang Minta Hutang.

Tidak melupakan lagu popular Cek Mek Molek yang menjadi lagu penutup konsert. Untuk lagu itu, beliau mengajak penonton untuk menari bersamanya di pentas.

Beliau turut berduet lagu Mak Inang Kayangan bersama Haziq AF dan Tolong Pilihkan bersama SA Ayesha.

Konsert malam itu turut menampilkan persembahan istimewa daripada Dewi Yull yang mendendangkan lagu Bunga Tanjung dan Jangan Ada Dusta Di antara Kita.

Terdahulu, acara bermula dengan pelancaran album Konsert Eksklusif Datuk Sharifah Aini Bersama Orkestra RTM.

Album itu diterbitkan stesen penyiaran terbabit pada April 2012 dan rakamannya turut berlangsung di Angkasapuri.

Ia diterbitkan khas oleh RTM bagi mengenang perjuangan empat dekad Allahyarham dalam dunia nyanyian.

Penghasilan album itu turut mendapat kerjasama syarikat rakaman Life Record Sdn Bhd dan memuatkan 22 lagu antaranya Seri Dewi Malam, Burung Pungguk dan Teratai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:05 AM