Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di Taman Munsyi Ibrahim di sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira 1 petang itu, penangkapan kedua-dua suspek berusia 40 tahun membawa kepada penemuan 1,014 gram syabu di rumah yang dijadikan stor di Taman Bukit Alif di sini.

Polis kemudian merampas dadah dianggarkan bernilai RM150,000 serta menyita kereta milik seorang daripada suspek berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, serbuan dilakukan JSJN hasil risikan polis berdasarkan maklumat diterima orang ramai.

Beliau berkata, maklumat risikan mendedahkan kedua-dua suspek ini aktif mengedar syabu di kawasan Tampoi dan Skudai di sini dan bekalan pula dipercayai diperoleh dari Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 10:11 PM