Oleh Mohd Afiq Hanif melaporkan dari Barcelona dan Sepanyol

Facebook (FB) berminat membangunkan ekosistem yang lebih meluas menerusi teknologi realiti maya (VR) yang bakal menjadi trend tahun ini dan menjangka impak perniagaannya lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg berkata, pihaknya melabur jumlah besar untuk pembangunan VR dan turut mengadakan kerjasama rapat dengan gergasi pengeluar peralatan elektronik terkemuka dari Korea Selatan, Samsung

“Inovasi adalah keutamaan FB dan kami berbangga memperkenalkan ekosistem kepada peranti lain. Ia berupaya membawa imaginasi ke dalam dunia realiti,” katanya ketika berucap pada satu sesi di Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2016 di Barcelona, Sepanyol.

FB mengumumkan mengadakan kerjasama dengan Samsung bagi pembangunan teknologi berkenaan, baru-baru ini.

Beliau berkata, kandungan VR terutama berkaitan FB boleh dipindah turun dengan mudah melalui Oculus Store dan setakat ini, pelbagai permainan dan aplikasi yang sesuai dengan fungsi Gear VR.

“Selain permainan, pengguna dapat menikmati resolusi tinggi bagi filem, program televisyen atau perkhidmatan video dan gambar,” kata Zuckerberg.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 7:17 AM