ZULFADLI
ISKANDAR mampu galas tugas perseorangan negara di saingan Piala Thomas nanti.
 Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Prestasi memberangsangkan dipamerkan skuad muda di Hyderabad baru-baru ini memperlihatkan gambaran jelas Malaysia mampu membariskan pasukan mantap menjelang Piala Thomas di Kunshan, China, Mei ini.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, percaturan mengetengahkan pemain muda di Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) nyata berjaya.

“Percubaan itu menyebabkan kami nampak dengan jelas mengenai saingan akhir Piala Thomas. Kami yakin mampu membariskan skuad menggerunkan kerana sebelum ini kita seperti tercari-cari pemain perseorangan lelaki,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) semalam.

Jelasnya, sekarang ini ada beberapa pemain mampu dibariskan bersama Datuk Lee Chong Wei mengikut ranking.

“Selain Chong Wei, kita memiliki Chong Wei Feng, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkiffli. Ini kombinasi yang kami rancang untuk digabungkan dengan pemain senior. Begitu juga dengan beregu lelaki apabila pemain pelapis menunjukkan peningkatan.

“Saya sangat gembira dengan semangat melawan ditunjukkan mereka di India. Sekiranya kita menghantar dua pasangan terbaik negara, dalam masa yang sama kita juga mempunyai pemain simpanan beregu lelaki bagus,” kata Norza.

Dalam pada itu, beliau turut memuji persembahan Iskandar kerana beraksi cemerlang di Hyderabad sehingga berjaya memperbaiki kedudukan ranking dunia.

“Baru-baru ini saya ada berbincang dengan Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal) bahawa kita memerlukan pemain perseorangan lelaki yang mempunyai kekuatan mental serta perwatakan untuk menang.

“Dia juga ada semangat melawan. Kriteria untuk pemain perseorangan sangat penting kerana akan menjadi nadi pasukan terutama di Piala Thomas.

“Iskandar tidak tertekan di India, dia merebut peluang dan saya tidak suka pemain yang terlalu gementar di gelanggang,” katanya.

Malaysia gagal melayakkan diri secara merit ke Piala Thomas namun masih berpeluang cerah mengisi kuota 16 pasukan berdasarkan ranking dunia berpasukan yang akan dikemaskini Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 8:31 AM