IHSAN JBPM
IHSAN JBPM
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Rumah panjang 18 pintu musnah dalam kebakaran di Jalan Beluru Lapuk, Sungai Lutong, di sini, petang semalam.

Kejadian pada kira-kira 6 petang itu menyebabkan 120 penduduk membabitkan lapan pintu rumah panjang itu hilang kediaman.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong, berkata hanya lapan pintu rumah panjang berkenaan yang berpenghuni manakala penghuni lain sudah berpindah ke seberang sungai.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.30 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Lopeng dan Miri dikerahkan ke lokasi yang mengambil kira-kira tiga jam perjalanan untuk ke lokasi kebakaran.

"Setibanya ke lokasi mendapat rumah berkenaan sudah musnah. Bagaimanapun, tiada mangsa terbabit. Sehingga ini, punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 11:01 AM