SHERYL.
LEGA selepas memenangi perlawanan.
AHLI pasukan Fong Fei Kei Gaming fokus dalam perlawanan.
JASON (tiga dari kiri) bangga dapat wakili Malaysia ke kejohanan HOTS peringkat Asia Tenggara.
SHERYL (dua dari kiri) berpuas hati rangkul tempat keempat.

Tahun ini ibarat ‘lampu hijau’ bagi sukan elektronik berkembang ke tahap lebih membanggakan. HAZRIL MD NOR yakin Heroes of the Storm pastinya bakal membentuk identiti sendiri, sekali gus berdiri setanding permainan siber lain.

Usia permainan video ini masih ‘hijau’ dalam arena sukan elektronik negara. Namun, ternyata Heroes of the Storm (HOTS) tangkas mencipta fenomena tersendiri.

Kejohanan Heroes Global Spring Malaysia peringkat akhir yang diadakan di Stadium Orange Esports, Setapak, Kuala Lumpur, minggu lalu menggamit perhatian apabila sekumpulan anak muda tempatan bertanding merebut tempat untuk ke kejohanan rantau Asia Tenggara.

Penolong Pengurus Produk Heroes of the Storm Malaysia, Muhammad Afiq Rashidi berkata, lebih ramai bakat baru anak muda mampu diasah dalam lapangan ini, sekali gus melahirkan pemain ‘game’ yang berdaya saing.

“Pertandingan ini adalah langkah permulaan mencari pemain kasual yang lebih kompetitif. Jika ingin dibandingkan dengan ‘game’ lain, kejohanan terbesar Heroes of the Storm diadakan tiga kali setahun, sekali gus membuka peluang kepada anak muda untuk tonjolkan bakat dalam lapangan ini.

“Lagi pun, kami memilih dua pasukan menerusi kejohanan ini untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan serantau Asia Tenggara. Jika berjaya, mereka akan bertanding pula pada peringkat akhir di Korea Selatan bagi merebut wang tunai terkumpul AS$500,000 (RM2.1 juta).

“Heroes of the Storm masih baru bertapak tapi saya yakin lebih ramai anak muda akan mencuba kerana ia tergolong dalam genre Multiplayer Online Battle Arena yang diminati ramai,” katanya.

Teruja bergelar juara

Boleh dikatakan gelaran juara tidak pernah tertulis dalam kamus kehidupannya. Namun, itulah tuah dimiliki Jason Lim, 22, apabila pasukannya, Fong Fei Kei Gaming dinobatkan sebagai juara Kejohanan Heroes Global Spring ini.

“Memang tak sangka apabila bergelar juara. Apatah lagi dapat mewakili Malaysia untuk berentap dalam kejohanan lebih besar pastinya mendebarkan kerana saya dan ahli pasukan tak ada pengalaman langsung berentap dengan pesaing luar yang lebih profesional.

“Tapi kami tetap akan lakukan yang terbaik, contohnya mempelajari pelbagai taktik baru kerana pertandingan HOTS di rantau Asia Tenggara nanti akan mengumpulkan pasukan dengan corak permainan berbeza, lantas cabarannya lebih besar dan debarannya lebih dirasai,” katanya.

Jelas Jason, dia pada mulanya hanya bermain ‘game’ secara kasual dan apabila melihat industri sukan elektronik negara kian meningkat naik, timbul hasrat untuk mencuba nasib dalam lapangan ini.

“Boleh dikatakan saya anggap hobi ini sebagai aktiviti santai saja. Tapi sebagai pelajar yang ada waktu terluang, saya cabar diri untuk sertai beberapa pertandingan ‘game’ di ibu kota sehinggalah berada di tahap sekarang,” katanya.

Tak gentar ramai pesaing lelaki

Jangan memandang rendah dengan statusnya sebagai wanita. Sheryl Ye Chi Yan, 19, atau nama komersialnya Aiisaka Miharu membuktikan kesungguhannya apabila memperoleh tempat keempat dalam pertandingan itu.

“Ia bukanlah pencapaian boleh dibanggakan, namun saya bersyukur kerana mampu lakukan yang terbaik setakat ini. Apatah lagi dikelilingi pesaing lain rata-ratanya lelaki, ia sedikit sebanyak menimbulkan ketegangan ketika bermain.

“Namun rasa kurang selesa itu saya buang jauh-jauh untuk fokus dalam permainan. Sebagai satu-satunya perempuan dalam pasukan, saya anggap ia cabaran untuk menjadi seorang yang lebih terbuka menerima pendapat.

“Saya akui, kadang-kadang ada juga yang memandang serong terhadap hobi bermain ‘game’ ini. Namun, saya sangkal pandangan mereka kerana apabila kita lihat situasi di luar negara, tidak wujud persepsi mengatakan wanita tidak boleh bermain secara kompetitif,” kata gadis yang juga pemain ‘game’ Dota 2 ini.

Ketika ditanya mengapa dia meminati permainan siber Heroes of the Storm, gadis cantik ini menjelaskan, permainan ini sangat mudah difahami tanpa perlu meluangkan masa yang banyak untuk mempelajarinya.

“Permainan ini sangat ‘straightforward’. Saya hanya main beberapa hari tapi sudah faham bagaimana untuk bermain dengan cara yang betul.

“Lagi pula, saya seorang pelajar dan selalu sibuk dengan tugasan. Tempoh perlawanan yang singkat membolehkan saya menikmati permainan tanpa perlu luangkan masa sehingga berjam-jam di depan komputer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 11:49 AM