KEBAKARAN di tiga premis restoran. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

 

Port Dickson: Tiga restoran musnah dalam kebakaran di Batu 4 Jalan Pantai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2 pagi itu, kebakaran bermula dari sebuah daripada tiga restoran itu sebelum api marak dengan cepat dan memusnahkan tiga deretan kedai kayu berkenaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Jamil Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.04 pagi dan dua pasukan membabitkan 21 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson serta Telok Kemang ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba api sedang marak dan keadaan angin yang kuat menyebabkan kebakaran menjadi lebih besar dengan cepat.

"Kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke premis lain dan memadamkan kebakaran sepenuhnya dalam tempoh lebih satu jam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian juga belum dapat dipastikan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 9:24 AM