ARTIS di bawah Hikayat Records (dari kiri) Aqil Zainal, Dayah Bakar, Janna dan Tengku Suhaila pada Pelancaran Single Perdana Janna Nick di Ruang Shah Alam, Shah Alam.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Bermula sebagai pelakon, kini Janna Nick turut bergelar penyanyi selepas melancarkan single sulungnya berjudul Mungkin Saja ciptaan Kuncidemak, baru-baru ini.

Namun, Janna menafikan dia ingin meniru Ayda Jebat yang kini popular dengan lagu Pencuri Hati.

“Siapa saya untuk bertanding dengannya. Apa yang boleh saya katakan, rezeki masing-masing buat kami. Saya bukan meniru sesiapa, tetapi salah satu impian saya adalah untuk bergelar penghibur,” katanya.

Janna berkata, pada usia yang masih muda, dia ingin melakukan pelbagai perkara di samping mencari sesuatu yang bersesuaian dengan jiwanya.

“Saya baru berusia 21 tahun. Jadi, rugi rasanya jika saya tidak mengambil peluang ini. Kalau nyanyian sesuai dengan jiwa, saya akan teruskan.

“Lagu Mungkin Saja ini ialah salah satu proses pembelajaran buat saya sebagai penyanyi. Secara tidak langsung, saya juga dapat belajar cara untuk berhadapan dengan orang ramai, dengan lebih yakin,” katanya.

Janna juga meluahkan rasa terharunya dengan respons positif daripada peminat dengan kehadiran single pertamanya.

Ditanya matlamatnya dalam muzik, Janna yakin, syarikat rakaman Hikayat Records yang menaungi punya strategi terbaik dalam membantu kerjayanya sebagai penyanyi.

“Insya-Allah pada tahun ini, saya menghasilkan lima hingga lapan lagu dan jika tiada aral melintang, dalam tahun ini juga saya akan hasilkan album. Tiada konsep yang ditetapkan kerana saya ingin mencuba pelbagai jenis lagu,” katanya.

Menurutnya lagi, seandainya suatu hari nanti, namanya lebih bersinar sebagai penyanyi, dia tidak akan melupakan lakonan yang menjadi pembuka jalannya dalam industri hiburan.

“Lakonan sudah menjadi darah daging saya. Saya memulakan langkah sebagai pelakon sejak berusia 17 tahun. Jadi, tidak mungkin saya berhenti kerana saya sangat menghargai bidang lakonan.

“Saya juga punya matlamat besar sebagai seorang pelakon. Kalau boleh, saya mahu menjadi seperti Erma Fatima atau Sheila Rusly. Sekurang-kurangnya, kalau saya sudah tidak relevan sebagai pelakon, masih ada karya yang saya hasilkan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pembahagian masa antara lakonan dan nyanyian, Janna mengakui bahawa dirinya tidak mampu melakukan pel­bagai kerja dalam satu masa.

“Disebabkan itu, saya memfokuskan satu persatu kerja saya. Contohnya, saya berikan masa seming­gu untuk lakonan dan seterusnya fokus kepada nyanyian sepenuhnya.

“Kalau saya sudah selesa dan mampu menjalankan kedua-duanya serentak, saya akan cuba. Tetapi, buat masa sekarang, saya bahagikan masa dengan sebaik mungkin untuk memastikan kerja saya berjalan lancar.

“Untuk single Mungkin Saja ini, saya memberikan 100 peratus fokus kepada muzik kerana ini buah tangan pertama dan saya harap, semua boleh memberikan sokongan padu buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 10:38 AM