OPERASI dijalankan JKN Perak di Larut Matang dan Selama. FOTO ihsan Jabatan Kesihatan Perak
Mohd Haafizee Mohd Arop


Ipoh: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengarahkan empat premis makanan di Taiping ditutup selama14 hari kerana beroperasi pada tahap kebersihan tidak memuaskan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, notis penutupan terhadap empat premis makanan itu dikeluarkan JKN mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Katanya, arahan penutupan itu membabitkan kilang kerisik kelapa di Kawasan Perindustrian Tupai di Taiping selepas pihaknya menemui tikus serta najis tikus termasuk keadaan persekitaran yang tidak memuaskan.

Menurutnya, dua lagi premis makanan pula didapati kotor selepas pihaknya menemui najis tikus manakala satu lagi premis berada di bawah penilain 55 peratus tahap kebersihan.

"Sebanyak 208 premis makanan diperiksa dalam operasi dijalankan di daerah Larut Matang dan Selama bermula Isnin lalu sehingga semalam dan 143 Notis Kesalahan 32B dan Notis Makluman Kesalahan dikeluarkan terhadap pesalah dengan jumlah kompaun sebanyak RM70,000.

"JKN fokuskan operasi kepada empat undang-undang kesihatan awam iaitu mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004," katanya dalam satu kenyataannya dikeluarkan hari ini.

Menurut Dr Juita, kesalahan lain yang dikesan sepanjang operasi itu ialah membiak nyamuk aedes dengan lapan Notis Makluman dikeluarkan membabitkan jumlah kompaun sebanyak RM4,0000.

Katanya, pihaknya juga mengeluarkan 106 Notis Kesalahan 32B terhadap kesalahan merokok di kawasan larangan merokok dengan melakukan operasi di kompleks beli-belah, perhentian bas, dan di kawasan hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 12:37 PM