MESIN imbasan CT-simulator. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Pusat Rawatan Onkologi di Hospital Sultan Ismail (HSI) bakal menerima sumbangan sebuah unit imbasan ‘CT-simulator’ baru kurniaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Menurut kenyataan dipetik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pembelian dan pemasangan CT-simulator moden terbabit berjumlah RM3.6 juta.

Mesin CT-simulator ini digunakan untuk rawatan radioterapi bagi pesakit kanser.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Khairi Yakub menjunjung kasih atas kurniaan dan keprihatinan Sultan Ibrahim berikutan keperluan kritikal untuk rawatan pesakit kanser di HSI.

Katanya, HSI menjadi pusat kanser bagi bahagian selatan tanah air termasuk Melaka dan Pahang selain Johor sendiri dan tahun lalu sahaja kira-kira 1,300 pesakit kanser mendapatkan rawatan menggunakan mesin yang lama.

"Insha Allah mesin yang lebih canggih itu akan diperolehi dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 5:13 PM