BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini hari ini, meminda keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan empat anggota polis bagi pertuduhan membunuh N Dharmendran hampir empat tahun lalu, ketika dia ditahan dalam lokap polis.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohtaruddin Baki membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan keempat-empat anggota polis itu dan memerintahkan mereka membela diri bagi pertuduhan membunuh.

Beliau berkata, ada keterangan mengikut keadaan yang amat banyak membabitkan empat anggota polis berkenaan -- Inspektor S. Hare Krishnan, 42,

Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34.

Kesemua anggota polis itu yang dibebaskan selama lebih setahun, kembali ke penjara hari ini selepas mahkamah memerintahkan mereka ditahan sementara menunggu kes mereka selesai.

Mereka didakwa membunuh Dharmendran, 32, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah antara 18 dan 21 Mei 2013.

Mereka berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi anggota polis terbabit membela diri dan menetapkan 2 Mac untuk sebutan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamardin Hashim membebaskan keempat-empat anggota polis itu pada 12 Disember 2014 daripada pertuduhan membunuh pada akhir kes pendakwaan tanpa memerintahkan mereka membela diri.

Dharmendran ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 10:00 PM