KIEN Keat (kiri) dan Boon Heong turut berada dalam radar BAM bagi menguatkan skuad Piala Thomas negara.
KIEN Keat (kiri) dan Boon Heong turut berada dalam radar BAM bagi menguatkan skuad Piala Thomas negara.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) akan kembali mengukuhkan skuad Piala Thomas negara dalam usaha untuk membawa pulang piala berpresti itu.

Chong Wei bakal disenaraikan untuk mengetuai barisan pemain lelaki di Kushan China Mei ini dengan Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai berkata, pemain nombor satu negara itu sudah mengatakan kesediaannya untuk mengibar cabaran.

Chin Chai berkata, seperti dimaklumkan Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini badan induk negara itu akan menghantar pasukan terkuat dan kehadiran Chong Wei memang dialu-alukan

Katanya, skuad kali ini dilihat mempunyai harapan terutama dengan kebangkitan pemain muda seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

“Bagaimanapun sukar untuk membuat perbandingan dengan skuad 2014. Pada ketika itu harapan diletakkan tidak tinggi tapi pada saat akhir kita hampir membuat kejutan.

“Jadi kali ini kami positif sebab prestasi Chong Wei jika dilihat enam tujuh tahun lalu corak permainannya masih lagi pada tahap sama dan dengan peningkatan Iskandar dan dua pasangan beregu yang berada di kedudukan ranking ke-16 dan 17 dunia, kita ada harapan,” katanya.

Tegasnya, beregu lelaki negara yang kini bergerak secara profesional Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut berada dalam radar BAM bagi menguatkan skuad Piala Thomas selain Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Sementara itu, Chin Chai turut mengalu-alukan kerjasama bersama Akademi Badminton Ehime, Jepun yang dilihat memberi perkembangan positif dalam pembangunan sukan badminton negara.

Dalam sesi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Gabenor Ehime Prefecture, Tokihiro Nakamura, Chin Chai berkata, beliau gembira dengan kerjasama terjalin kerana Jepun kini antara negara yang semakin meningkat dalam sukan badminton.

“Ini titik permulaan kerjasama dengan kita merancang mengadakan kem latihan pusat bersama akademi itu sebelum Olimpik mengikut kesesuaian waktu selain perlawanan persahabatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 6:42 AM