PEMAIN MCKK Tun Muhammad Haziq Tun Mahadi (tengah) membuat larian solo.
PEMAIN MCKK Tun Muhammad Haziq Tun Mahadi (tengah) membuat larian solo.
Oleh Azizan Hashim

Kuala Kangar: Tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) membuat permulaan baik Kejohanan Ragbi Premier 7’s 2016 di padang sekolah itu, semalam.

Juara edisi 2013 itu membuktikan kehebatan apabila mudah menundukkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (SBPKP) 36-0.

Pasukan yang diberi jolokan MCKK All Blacks itu memperoleh mata melalui tiga gol dan lima ‘try’, mendahului 17-0 pada babak pertama.

CKK yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan, Khusainy Ishak diundi dalam Kumpulan C bersama Kolej Yayasan Saad (KYS) dan Sekolah Antarabangsa Australia, Singapura (AIS).

Turut membuka saingan dengan langkah kanan adalah Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh yang menumpaskan Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu (MRSMKT) 24-12 dalam Kumpulan D.

Begitupun satu lagi wakil Perak SMK King Edward VII, Taiping gagal menyerlah apabila tumpas 5-15 kepada Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dalam Kumpulan A.

Sebanyak 23 pasukan termasuk juara tahun lalu Sekolah Sukan Hong Kong (HKSS) mengambil bahagian dalam kejohanan anjuran bersama MCKK, Jawatankuasa All Blacks Revival (ABR) dan Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) bagi merebut Trofi NJ Ryan.

HKSS dan juara 2014, Scots College New Zealand akan memulakan cabaran mereka masing-masing dalam Kumpulan A dan B hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 7:01 AM