Milan: Persembahan mengagumkan Paul Pogba bersama Juventus sejak kebelakangan ini mungkin memberi masalah buat Malmo dan pertemuan di tempat lawan pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi esok mahu digunakan sepenuhnya kelab Itali terbabit untuk mencuri salah satu slot ke pusingan kalah mati.

Pogba meledak dua jaringan ketika Juventus mengatasi Lazio 3-0 di Stadium Olimpik sekali gus menjarakkan diri dengan Roma dan individu paling lega pastinya jurulatih Massimiliano Allegri.

Allegri baru-baru ini menerapkan formasi baru berbanding 3-5-2 yang sering digunakan bekas pengendali Antonio Conte yang dilihat berkesan di Serie A tetapi tidak di peringkat lebih tinggi.

Pemilihan pemain kali ini agak menyukarkan Allegri kerana beberapa anak buahnya cedera walaupun beliau sangat mengharapkan Patrice Evra dan Kwadwo Asamoah dapat kembali bermain.

Bagaimanapun, Pogba tidak mahu mempedulikan itu semua.

Pemain antarabangsa Perancis itu hanya meledak satu gol sepanjang 11 aksi liga tetapi sejak terbabit dengan formasi 4-3-2-1 yang diamalkan Allegri, persembahannya dilihat semakin mantap.

Walaupun formasi itu menuntut pemain melorongkan bola lebih banyak kepada Carlos Tevez, Fernando Llorente dan Roberto Pereyra, individu yang turut merasa tempias keberkesanan formasi itu ialah Pogba.

“Kini kami bermain lebih dekat dengan gawang lawan dan ia sesuatu yang menyeronokkan saya,” kata Pogba. “Pemain tengah beraksi di belakang penyerang dan ia sekali gus membantu penggempur.”

Walaupun Conte pernah membimbing Juventus untuk ke suku akhir Liga Juara-Juara 2013, kelab juara Itali itu mungkin terlepas aksi kalah mati jika tewas di tangan Malmo.

Pendahulu kumpulan, Atletico Madrid melayan kunjungan Olympiakos dan mereka mahu menang untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati.

Andai Juventus menang dan Olympiakos tewas, anak buah Allegri akan berada di tangga kedua dengan kelebihan tiga mata sambil berbaki satu perlawanan.

Jika Juventus dan Olympiakos menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan jumlah mata sama, kelab Greece itu akan layak atas dasar rekod pertemuan antara mereka. Olympiakos menjaringkan lebih banyak gol berbanding Juventus apabila menang 1-0 di Athens dan 3-2 di Turin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:42 AM