X
RASHFORD (kanan) meledak dua gol pada aksi Eropah, baru-baru ini.
RASHFORD (kanan) meledak dua gol pada aksi Eropah, baru-baru ini.
AFP

Manchester, United Kingdom: Louis van Gaal sudah beberapa kali mengecewakan penyokong Manchester United dan beliau mungkin sekali lagi tidak dapat memenangi hati peminat apabila memilih untuk merehatkan pemain remaja Marcus Rashford ketika bertemu Arsenal dalam saingan Liga Perdana malam ini.

Rashford, 18, diturunkan bagi menggantikan Anthony Martial yang cedera dan penyerang muda itu menghasilkan dua gol ketika pasukannya menang 5-1 ke atas kelab Denmark FC Midtjylland sekali gus membolehkan United mara dengan defisit 6-3.

Susulan persembahan memberangsangkan selain masalah kecederaan melanda United, ramai yang mengharapkan pemain itu dikekalkan dalam skuad utama bertemu Arsenal di tempat sendiri.

Tetapi pengendali Belanda van Gaal yang kerap dikritik musim ini kerana mengamalkan corak permainan bertahan di United memilih merehatkan pemain itu.

“Tidak, dia tidak akan diturunkan,” kata pengurus United itu ketika ditanya sama ada Rashford mungkin disenaraikan sebagai pemain utama menentang Arsenal.

“Dia mungkin boleh masuk sebagai pemain gantian. Saya tidak boleh mengambil risiko. Saya jurulatih yang memikirkan soal jangka panjang.”

Sementara itu, pengurus Arsenal Arsene Wenger yang pasukannya boleh menamatkan cabaran minggu ini di persada liga jika menang perlawanan ini selain keputusan aksi lain berpihak kepadanya, enggan menyatakan sama ada Danny Welbeck akan diturunkan menentang bekas pasukannya.

“Dia masih dalam skuad ini dan belum pulih sepenuhnya daripada masalah lutut. Dia bekerja keras ketika latihan dan sangat cergas. Itu sesuatu yang saya perlu ambil kira.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:48 AM