ANAK ikan kerapu hibrid lebih sihat.
PROSES asuhan anak ikan kerapu hibrid.
WAN Zalani menunjukkan sperma daripada induk kerapu kertang.
WAN Zalani (dua dari kanan) memberi peluang kepada rakan media melakukan suntikan hormon terhadap induk ikan betina kerapu harimau.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Rasanya sudah kerap kali penulis melihat demonstrasi persenyawaan telur ikan. Tidak banyak beza antara setiap spesies kerana masih menggunakan induk jantan dan betina sebagai subjek utama.

Namun, subjek ditampilkan kepada penulis pada kali ini agak mengujakan. Bukan kerana proses persenyawaannya, tetapi penggunaan induk ikan jantan bersaiz 100 kilogram.

Pengalaman itu diperoleh penulis ketika menyertai Kembara Media Perikanan 2014 anjuran Jabatan Perikanan Malaysia, baru-baru ini. Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Tanjung Demong, Besut, Terengganu menjadi lokasi kelapan wajib dilawati.

Diiringi ketua pusatnya, Nik Haiha Nik Yusoff, penulis dan rakan media dipertontonkan kaedah persenyawaan telur ikan kerapu. Kacukan induk jantan kerapu kertang (Epinephelus lanceolatus) dan induk betina kerapu harimau (Epinephelus fuscoguttatus) bagi menghasilkan kerapu hibrid.

Kaedah persenyawaan itu antara teknologi pembenihan kerapu hibrid yang dipelopori pusat berkenaan.

Siapa sangka teknik yang dibangunkan penyelidik terbabit menghasil­kan spesies baru yang lebih berkualiti.

Bukan saja cepat membesar dan tahan penyakit, tetapi hasil tuaiannya lebih cepat, kurang kecacatan, mudah diternak, nilai pasaran dan permintaan yang tinggi.

Kerapu hibrid boleh mencapai saiz pasaran sekilogram dan dapat dituai dalam tempoh tujuh bulan berbanding kerapu harimau sehingga 15 bulan bermula dari peringkat benih bersaiz 10 sentimeter.

Kerapu kertang adalah spesies paling cepat membesar, namun sukar untuk dibiakkan sehingga kini berikutan kegagalan induk betina mengeluarkan telur secara semula jadi atau aruhan.

Berbeza dengan kerapu harimau ia adalah spesies bersaiz sederhana yang lebih mudah dibiakkan tetapi agak lambat membesar.

Penyelidikan pula mendapati kacukan kedua-dua spesies itu menghasilkan benih kerapu hibrid yang mewarisi ciri-ciri baik daripada induk asal.

Bertempat di Hatceri FRI Tanjung Demong, Pegawai Penyelidik Cawangan Pembangunan Ikan Marin, Sufian Mustafa dan pembantunya, Wan Zalani Wan Jusoh menjalankan aktiviti pembiakan kacukan setiap bulan.

Induk kerapu kertang jantan seberat 100 kilogram dipengsangkan dan diletakkan di atas pengusung khas yang dipanggil 'spawning strecher'.

Tujuannya untuk memastikan induk berkenaan dalam keadaan stabil tanpa mengalami tekanan, selain mengelak berlaku kecederaan.

Sperma akan disedut dari saluran organ jantan pada bahagian bawah abdomen menggunakan picagari khas dan disimpan dalam botol khas pada suhu 10 darjah celsius.

Sperma perlu dikumpul lebih awal sebelum telur di lurutkan dari induk betina.

Induk betina kerapu harimau yang diberi suntikan hormon dalam tempoh 38 jam dipengsangkan dan diletakkan di atas pengusung khas.

Bahagian perut dipicit atau dilurut lembut bagi mengeluarkan telur yang dikumpul dalam mangkuk plastik yang bersih. Sperma kemudian dicampurkan ke dalam mangkuk telur dan digaul sekata secara lembut dengan menggunakan bulu ayam.

Tempoh lima minit diperlukan untuk proses persenyawaan.

Sedikit air laut bersih kemudian dimasukkan dan digaul bagi melengkap proses persenyawaan.

Ia kemudian dibasuh menggunakan air laut sebelum dipindahkan ke dalam tangki pengeraman.

Telur yang tersenyawa akan menetas dalam tempoh 18 jam.

Larva yang baru menetas kemudian dipindahkan ke dalam tangki pembenihan berkapasiti sepuluh tan.

Setiap proses perse­nyawaan mampu menghasilkan kira-kira dua juta telur.

Namun secara purata hanya 80 peratus daripadanya yang tersenyawa dan menetas.

Nik Haiha berkata, FRI Tanjung Demong ditubuhkan pada tahun 1983 dan mula beroperasi setahun kemudian.

"Asalnya ia dikenali sebagai Pusat Pengeluaran Benih Ikan/Udang Laut (PPBIUL) yang ditubuhkan untuk pengeluaran dan agihan benih ikan serta udang laut kepada penternak di Malaysia.

"Pada 1986, nama pusat ini ditukarkan kepada Pusat Pengeluaran Benih Ikan Laut (PPBIL) dan beroperasi sebagai pusat pengeluaran benih ikan laut nasional," katanya.

Pada 1992, pusat berkenaan diperbesarkan serta dijadikan Pusat Penyelidikan dan Pengeluaran Ikan Laut (PPPIL), yang memberi fokus bagi pe­nyelidikan dan pengeluaran ikan laut.

Namun, selari dengan perkembangan teknologi semasa akuakultur, pusat ini sekali lagi dijenamakan semula sebagai Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin, FRI Tanjung Demong pada 2011.

FRI Tanjung Demong katanya, adalah salah sebuah dari sembilan cawangan di bawah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perikanan yang beribu Pejabat di FRI Batu Maung.

Fungsinya untuk menjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) induk berkualiti melalui kaedah domestikasi, pembiakbakaan terpilih dan penyaringan penyakit.

"Menjalankan R&D teknologi pembenihan dan ternakan pelbagai spesies ikan marin termasuk sistem hatceri, nurseri dan ternakan.

"Menjalankan R&D dalam bidang makanan dan pemakanan ikan termasuk teknik pengeluaran makanan hidup (fitoplankton dan zooplankton) serta penyakit ikan," katanya.

Selain itu, ia turut menjalankan program pemindahan teknologi (TOT) untuk pembangunan industri akuakultur marin negara melalui program inkubator atau kolaborasi penyelidikan, latihan sangkut, kursus berjadual, latihan industri dan khidmat teknikal.

Sebagai sebuah pusat penyelidikan benih ikan laut terunggul di Malaysia, FRI TD membuktikan kemampuannya mengeluarkan benih-benih ikan siakap dan kerapu harimau secara konsisten sejak 1985.

"Ia turut berjaya di dalam penyelidikan teknologi pe­ngeluaran benih bagi enam spesies ikan laut komersil yang lain," katanya.

Kronologi kejayaan pengeluaran benih pelbagai spesies ikan marin adalah siakap (Lates calcarifer) pada 1982, kerapu hijau (Ephinephelus coioides) dan jenahak (Lutjanus johnii) pada 1992.

Siakap merah (Lutjanus argentimaculatus) pada 1993, kerapu harimau pada 1995, bawal emas (Trachinotus blochii) 1998, ikan merah (Lutjanus erythropterus) 1999 dan kerapu hibrid GGTG (E fuscoguttatus x E. lanceolatus ) 2010.

Selain daripada kejayaan dalam teknologi pengeluaran benih ikan marin, pada 2010 FRI berkenaan berjaya dalam membangunkan teknologi pembenihan gamat sawa (Stichopus vastus) dan teknologi pembenihan ketam nipah (Syclla paramosasain).

"Dari segi sistem ternakan pula, FRI Tanjung Demong berjaya merekacipta sistem 'CENTS' (Cheap, efficient nursery tanks system) untuk tujuan asuhan benih ikan marin.

"Sistem ini memenangi pelbagai hadiah inovasi dan digunapakai di seluruh Malaysia," katanya.

Katanya, pusat itu kini mengenalpasti beberapa spesies ikan marin terutamanya ikan kerapu yang sangat berpotensi untuk dikomersialkan dalam dan luar negara.

"Kajian ini dimulakan dengan aktiviti pengumpulan spesies-spesies ini dari habitat semula jadi di dalam dan di luar negara.

"Spesies ikan yang berjaya dikumpul ini akan di domestikasikan di dalam tangki di hatceri FRI TD sehingga matang dan boleh membiak," katanya, sambil menerangkan antara spesies yang dikenal pasti ialah seperti kerapu tukula (Ephinephelus tukula) dan kerapu sunoh (Plectropomus leopardus).

FRI Tanjung Demong katanya, sudah menyebar luas teknologi pembenihan dan ternakan kerapu hibrid kepada kumpulan sasar.

Ia membabitkan individu yang sedang dan akan terbabit dengan industri akuakultur ikan marin di seluruh negara.

Teknik pengeluaran benih kerapu hibrid yang dipelopori Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2006 diadaptasikan FRI Tanjung Demong sejak 2009.

"Selepas diperhalusi, teknologi berkenaan mula dipindahkan kepada dua buah hatceri swasta skala IKS yang terpilih di pantai Timur.

"Hatceri swasta itu kini berjaya menghasilkan telur kerapu hibrid untuk kegunaan sendiri dan sebahagian lagi dijual kepada penternak setempat," katanya.

Teknik pembenihan kerapu hibrid

Kerapu harimau, Epinephelu fuscoguttatus dan kerapu kertang, E lanceolatus adalah spesies popular dalam akuakultur ikan marin di Malaysia.

Kedua-duanya mempunyai nilai yang tinggi di pasaran tempatan dan luar negara sedangkan pengeluarannya daripada sumber semula jadi semakin berkurangan.

Justeru, akuakultur diberi peranan penting untuk me­ngurangkan jurang permintaan dan bekalan berkenaan.

Bagaimanapun, pada masa sama pengeluaran akuakultur kerapu khususnya kerapu kertang dikekangi oleh masalah kekurangan bekalan benih yang dikeluarkan oleh hatceri tempatan.

Ikan kerapu harimau secara relatifnya lebih mudah dibiakkan, tetapi tumbesaran agak perlahan manakala kerapu kertang paling cepat membesar tetapi paling sukar dibiakkan.

Kelebihan daripada induk jantan kerapu kertang dan betina kerapu harimau dimanfaatkan bagi menghasilkan kerapu hibrid yang ternyata mewarisi ciri berkualiti daripada kedua-dua induknya iaitu mudah dibiakkan dan cepat membesar.

Selain itu, penerimaan dan harganya yang setanding di pasaran.

Kerapu hibrid dapat mencapai saiz pasaran 800 hingga 1.2 kilogram (kg) dalam masa lapan hingga sepuluh bulan berbanding kerapu harimau yang memerlukan 12 hingga 14 bulan.

Kerapu hibrid GGTG hasil kacukan spesies kerapu harimau dan kerapu kertang.

Ikan kerapu hibrid mempunyai nilai yang tinggi.

Harga semasa telur kerapu hibrid mencecah RM6,000 hingga RM7,000 per juta dan harga benih bersaiz 7.5 sentimeter (cm) pula boleh dijual antara RM8 hingga RM10 seekor.

Disebabkan harga dan permintaan benih yang tinggi di dalam dan luar negara, kerapu hibrid adalah spesies yang dapat dikomersialkan sama ada di peringkat telur, benih dan ternakan.

Kaedah pembiakan dibuat secara in vitro, di mana mani dan telur disenyawakan di luar dengan bantuan suntikan hormon.

Apabila induk betina sedia untuk mengeluarkan telur, lurutan pada bahagian abdomen secara perlahan dibuat bagi mengeluarkan telur ke dalam bekas yang kering dan bersih.

Mani kerapu kertang dicampurkan pada telur dan kacau hingga sebati.

Selepas beberapa minit, telur yang tersenyawa dimasukkan dalam tangki yang diisi air laut untuk perkembangan embrio.

Penetasan telur berlaku di antara 16 hingga 18 jam selepas telur disenyawakan.

Dianggarkan 300,000 hingga 500,000 biji telur diperoleh setiap sekilogram induk betina.

Telur yang disenyawakan dipindahkan ke dalam tang­ki pembenihan untuk jang­ka masa 30 hingga 40 hari sehingga selesai peringkat metamorfosis sebelum

dituai.

Peringkat sebelum metamorfosis, mortaliti rega adalah tinggi disebabkan oleh faktor pemakananan dan perubahan persekitaran.

Benih perlu dikelaskan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kanibalism (pemangsaan sesama sendiri) terutamanya pada saiz antara 2.5cm hingga 5.0cm.

Pada peringkat awal iaitu peringkat umur 30 hari selepas menetas, saiz benih kerapu harimau dan kerapu hibrid tidak banyak berbeza.

Bagaimanapun apabila mencapai umur 60 hari, kerapu hibrid lebih cepat membesar berbanding kerapu harimau.

Pada umur 100 hari selepas ditetaskan, kerapu hibrid mencapai saiz 10 hingga

12cm dan sedia untuk dipindah dalam sangkar atau kolam ternakan.

Kerapu hibrid bisanya diternak dalam sangkar atau kolam ternakan selama lapan hingga sepuluh bulan sebelum dipasarkan pada saiz 800 hingga 1.2kg.

Kelebihan kerapu hibrid yang menjadikannya lebih diminati untuk dibiak dan diternak adalah kerana cepat membesar, tahan penyakit, kurang kecacatan, lebih mudah dibiakkan, nilai pasaran dan permintaan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:27 AM