NELAYAN tempatan yang diselamatkan APMM. FOTO Siti Rohana Idris
Hazira Ahmad Zaidi


Tumpat: Tiga nelayan tempatan diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM), 9.50 pagi tadi, selepas enam hari terkandas di laut akibat enjin bot rosak.

Bot mereka ditunda dan tiba di jeti Kastam Pengkalan Kubor di sini kira-kira 2 petang tadi.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Maritim 10 Tok Bali, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menemui mangsa kira-kira 10 batu nautika dari Pengkalan Kubor.

Sebelum itu, katanya, mereka keluar menangkap ikan pada Selasa dari Jeti Pengkalan Petah, Tawang, Bachok.

"Kami dimaklumkan mereka hilang di laut apabila saudara membuat laporan di Balai Polis Tawang dan Polis Marin Pengkalan Kubor menghubungi Pusat Operasi Maritim Kelantan, semalam untuk memaklumkan perkara itu.

"Sehubungan itu Bot Kilat APMM digerakkan operasi mencari dan menyelamat sebelum berjaya mengesan mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, tekong bot Rozita Mat Nawi, 44, berkata, bot mereka hanyut lebih 30 batu nautika akibat enjin bot rosak.

"Telefon dibawa juga tiada isyarat menyebabkan sukar untuk meminta bantuan sesiapa. Kami hanya makan bekalan yang ada dan Alhamdulillah mencukupi sehingga diselamatkan APMM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 4:22 PM