PEMAIN SSTMI mempamerkan piala kejuaraan bersama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (tengah), semalam.
Oleh Azizan Hashim

Kuala Kangsar: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) membuktikan pasukan tempatan juga berkemampuan apabila menumpaskan juara bertahan Hong Kong Sports School (HKSS) 28-22 untuk menjuarai Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s, semalam.

SSTMI yang dibimbing Syed Shazril Syed Mahadzir mempamer aksi cemerlang dengan pemain terbaik perlawanan akhir Khalil Azman berjaya melakukan ‘conversion’ hasil try oleh Afdlishah Norbasharudin, Zuhaili Rohaizan dan Rahmad Abu Seman.

Apa yang pasti, SSTMI membuktikan mereka muncul juara kali ketiga selepas melakukannya pada 2011 dan 2012 apabila meningkatkan permainan mereka.

“Perubahan posisi pemain di bahagian prop nyata membawa hasil lumayan.

“Kami bergerak dengan lancar dan berjaya menyaingi pasukan pilihan itu,” kata Syed Shazril.

Pada perlawanan yang turut disaksikan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa itu, SSTMI mengutip mata melalui empat gol berbanding satu gol dan tiga try lawan untuk merangkul Trofi NJ Ryan.

SSTMI ketinggalan 0-5 apabila HKSS melakukan try di awal permainan melalui Oliver Werman.

Bagaimanapun selepas itu menyaksikan kebangkitan wakil Johor itu yang mengutip mata melalui tiga gol untuk mendahului lawan 21-5 pada separuh pertama.

Walaupun lawan cuba bangkit pada babak kedua dan berjaya merapatkan jurang melalui dua try tetapi ia nyata tidak mencukupi untuk menyekat kemenangan yang turut mendapat sokongan padu penonton termasuk kumpulan sorak MCKK.

SSTMI mara ke final selepas menumpaskan tuan rumah MCKK Blacks 14-5 manakala HKSS menghampakan Scots College New Zealand (SCNZ) 22-14.

Sementara itu, tuan rumah MCKK Blacks sekadar menduduki tempat keempat selepas tumpas 7-20 kepada SCNZ.

Bagaimanapun tuan rumah masih boleh berbangga apabila pemainnya Zulhaziq Immerus dinobat selaku pemain terbaik kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:08 AM