IDAMAN menunjukkan kad pengenalan miliknya.
IDAMAN Pertiwi bersama anak dan suami menulis namanya di atas kertas.
Oleh Sarah Zulkifli dan Iskandar Shah Mohamed
am@hmetro.com.my

Bangi: “Awak lelaki atau perempuan?” Itu antara pertanyaan kerap diajukan kepada seorang wanita sejak kecil hingga dewasa hanya kerana keunikan namanya yang turut berunsurkan patriotik.

Idaman Pertiwi Muhamad, 38, sentiasa mendapat perhatian dan sudah lali apabila ada yang menganggapnya sebagai lelaki atau nama sesebuah syarikat hingga pernah diminta mengeluarkan kad pengenalan kerana ramai tidak mempercayai namanya itu.

Menurutnya yang mesra dipanggil Ida, walaupun mungkin dianggap pelik segelintir pihak, dia berbangga dengan namanya itu kerana melambangkan asal usul dan mempunyai makna yang mendalam untuk dirinya.

“Nama itu diberikan oleh bapa saya, Prof Muhamad Mat Salleh (kini memegang jawatan sebagai Ketua Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah menuntut selama dua tahun di Indonesia.

“Waktu itu, dia melanjutkan pengajian Sarjana Fizik di Universiti Gadjah Mada, Bandung dan mahu menamakan anak sulungnya dengan nama bercirikan negara jiran seperti Idaman.

“Tidak lama kemudian, bapa menuntut di London dan saya dilahirkan dua bulan sebelum kami sekeluarga pulang semula ke negara ini dengan diberikan nama Pertiwi yang bermaksud tanah air kerana bersifat patriotik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 4 Tambahan di sini, semalam.

Kata Penolong Pengurus Jenama, Perayauan Antarabangsa di Celcom Axiata Berhad itu, dia turut mengalami kejadian pelik ketika bekerja.

“Ketika pernah berkhidmat di bahagian khidmat pelanggan, kebanyakan pelanggan akan cuba menamatkan perbualan secepat mungkin kerana menganggap saya mahu menjual barang apabila memperkenalkan nama pada awal perbualan.

“Selain itu, sewaktu mahu mencari pekerjaan sebelum ini, saya kerap diminta menunjukkan kad pengenalan kerana bimbang menipu dan kebanyakannya akan memuji dengan memberitahu nama saya unik,” kata ibu beranak tiga itu.

Menurut Ida, dia pada awalnya memang terasa apabila sering kali diejek rakan sekolah dengan panggilan pelik seperti ‘Dam’, ‘Tiwi’, ‘IdamanperTV3’ dan ‘Damdam Dum’.

“Saya menganggap ia bagaimanapun hanya jenaka dan gurauan semata-mata kerana nama biasa turut menjadi bahan ejekan. Saya merasakan ia bukan masalah kerana diterima baik suami (Mohd Fauzan Khalid, 38), keluarga dan masyarakat sekeliling.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:13 AM