Low didenda RM5 juta dan dipenjara lima tahun. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Bekas Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Bhd (Repco) didenda RM5 juta dan dihukum penjara lima tahun Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba mengelirukan pasaran saham, 19 tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan demikian terhadap Low Thiam Hock, 54, atau dikenali sebagai Repco Low selepas meneliti dan mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah mengarahkan Low menjalani hukuman penjara lima tahun lagi, jika dia gagal membayar denda itu.

Low, dari Kota Kinabalu, Sabah, mengaku tidak bersalah pada 18 September 1999, terhadap tuduhan mengarahkan seorang wakil peniaga Sime Securities Sdn Bhd untuk membeli saham Repco dengan menyerap harga tawaran saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bagi tujuan menimbulkan kekeliruan terhadap harga saham syarikat itu.

Low didakwa mengikut Seksyen 84(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan menghadapi hukuman maksimum denda RM1 juta dan penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 10:56 AM