Suasana di tempat kejadian. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Suasana di tempat kejadian. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kota Samarahan: Tiga beranak maut selepas terperangkap dalam bilik yang terbakar dalam kejadian di rumah kedai di Lorong Bandar Baru, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Saruji Arip, 42, isterinya, Syaidatul Farhanah Md Yusof, 29 dan anaknya Muhammad Nur Haqimie Muhammad Ziqri Zairy, berusia tiga tahun.

Mayat Saruji, terbakar dan melecur seluruh badan kira-kira 90 peratus ditemui atas katil yang terbakar, manakala isterinya ditemui di belakang pintu bilik dengan pakaian terbakar dan melecur di beberapa bahagian badan.

Anak pasangan itu ditemui di sisi katil dalam keadaan melecur di badan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.32 tengah hari.

Menurutnya, satu jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bilik di tingkat tiga sebuah rumah kedai terbakar.

"Kami mendapati tiga mangsa berada di dalamnya dan sudah meninggal dunia.

"Kami menyerahkan mayat dan kes ini kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 3:07 PM