Rosnah menutup muka selepas dihukum penjara enam bulan dan didenda RM10,000. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Salman Hamat


Melaka: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka Tengah, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 terhadap wanita warga Filipina dikenali sebagai Rosnah berusia 43 tahun yang mengaku bersalah memberi suapan kepada pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 6 November tahun lalu.

Rosnah, mengaku bersalah selepas faham pertuduhan terhadapnya yang dibacakan Hakim Amran Jantan.

Mengikut pertuduhan Rosnah memberi suapan RM100, anting-anting dan cincin emas kepada Mohd Hanif Md Saleh.

Perbuatan itu adalah sebagai dorongan kepadanya untuk tidak menahan kad pengenalan berkualiti tinggi (KPT Bunga Raya) milik orang lain atas penama Rosnah Kundangit.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Kesalahan itu dilakukan di bilik siasatan, JPN Melaka, pada 10.30 pagi, 6 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 3:47 PM