Sallehuddin Amzah, 30, dan isteri Nurul Azimah Md Ariffin, 28, bersama bayi kedua mereka seberat 3.26kg yang dilahirkan dalam kereta ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar, kira-kira 8.25 pagi tadi. - Foto Bernama
BERNAMA

Seremban: Nurul Azimah Md Ariffin, 28, tidak pernah menyangka akan menyambut sendiri kelahiran anak keduanya dalam kereta dan terpaksa mengharungi detik cemas itu bersama suami tercinta pagi tadi.

Kelahiran itu juga disifatkan cukup istimewa apabila bayi perempuan seberat 3.26 kilogram (kg) itu dilahirkan pada tahun lompat yang hanya disambut empat tahun sekali.

“Tarikh jangkaan bersalin saya ialah 1 Mac tetapi disebabkan tiada kontraksi yang jelas saya tidak bimbang, cuma rasa sakit pinggang pagi tadi lalu tergerak hati untuk mengajak suami ke hospital.

"Dalam perjalanan dari rumah di Taman Tuanku Jaafar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), tiba-tiba air ketuban pecah dan saya berasa kepala anak sudah keluar separuh.

"Bimbang dia lemas, saya teran dan anak terus keluar sebelum saya minta suami berhenti di bahu jalan untuk membersih dan membalut anak," katanya yang melahirkan anaknya pada 8.25 pagi.

Nurul Azimah berkata perasaan cemas melahirkan anak dalam situasi itu mengatasi rasa sakit bersalin dan bersyukur selamat bersalin tanpa komplikasi.

"Anak pertama saya lelaki dan bersalin normal di hospital. Saya selalu tengok video bayi dilahirkan dalam kereta dan saya tidak sangka saya sendiri akan mengalaminya,” katanaya.

Setiba di hospital, dia dan bayi disambut jururawat yang segera memotong tali pusat di depan dewan bersalin hospital berkenaan.

Suaminya, Sallehuddin Amzah, 30, berkata dia hanya terfikir untuk sampai ke hospital dengan segera kerana bimbang isterinya bersalin dalam kereta.

"Bila isteri kata air ketuban pecah saya fikir hanya air yang keluar, tidak sangka dengan anak sekali keluar.

"Saya terus pandu kereta sebab dalam fikiran nak sampai hospital tetapi isteri minta saya berhenti di tepi jalan, rupanya anak dah lahir. Saya ambil kain lap dan balut bayi dan terus ke hospital," katanya.

Bayi pasangan itu merupakan antara 11 bayi yang dilahirkan di HTJS pada tahun lompat hari ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 6:55 PM