RASHFORD (kiri) dua kali bolosi gawang Arsenal.
RASHFORD (kiri) dua kali bolosi gawang Arsenal.
Agensi

Manchester, England: Louis van Gaal memuji Marcus Rashford sebagai ‘bakat istimewa’ selepas pemain remaja itu tampil dalam penampilan pertamanya untuk Manchester United pada Liga Perdana Inggeris dengan dua jaringan sebelum menang 3-2 ke atas Arsenal kelmarin.

Rashford sebelum ini menjaringkan dua gol pada penampilan sulungnya bersama United dalam Liga Europa ke atas FC Midtjylland minggu lalu dan terus mempamerkan aksi hebatnya dengan menghukum pertahanan Arsenal di Old Trafford.

Pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit pada babak pertama dengan penyudah tajam dan tandukan tepat sebelum membantu jaringan Ander Herrera pada separuh masa kedua.

Aksi wira Rashford tepat pada masanya buat Van Gaal selepas berdepan kritikan hebat musim ini dan pengurus United itu segera memuji potensi pemain remaja kelahiran Manchester.

“Pengalaman saya menunjukkan pemain remaja sentiasa bermain baik pada perlawanan pertama namun berbeza pada perlawanan kedua. Marcus bermain cemerlang pada kedua-dua perlawanan jadi dia berbakat istimewa,” kata Van Gaal.

“Kami mempunyai skuad yang kecil jadi anda boleh memberikan pemain remaja satu peluang. Skuad besar bermakna mereka tidak berpeluang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 8:03 AM