X
HENDRAWAN (kiri) banyak membantu Chong Wei.
HENDRAWAN (kiri) banyak membantu Chong Wei.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan mengakui bimbang sekiranya Datuk Lee Chong Wei mencapai tahap kemuncak prestasi terlalu awal sebelum Sukan Olimpik Rio, Ogos depan.

Bekas pemain Indonesia itu berkata, perancangan sebelum ini memang untuk membantu Chong Wei mengejar kedudukan ranking dunia bagi melayakkan diri ke Olimpik selain mendapat kedudukan baik dalam undian.

“Apa yang dicapainya sekarang benar-benar di luar jangkaan kerana kami meramalkan kedudukan yang dicapainya sekarang hanya boleh diraih Mei ini tapi ia sangat cepat serta membimbangkan saya,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Chong Wei mengambil masa selama sembilan bulan untuk menjadi pemain nombor dua dunia selepas berdepan penggantungan akibat kes doping.

“Bagaimanapun, ini juga memberi kelebihan buat Chong Wei kerana tahap keyakinan sudah semakin ting
gi dan ini pasti akan membantunya dalam setiap kejohanan,” kata Hendrawan.

Katanya, berdasarkan penilaiannya yang menyaksikan Chong Wei tewas dua kali pada perlawanan akhir Sukan Olimpik (2008 dan 2012 di tangan Lin Dan), pemain itu mencapai kemuncak prestasi terlalu awal apabila sebelum temasya itu bermula dia meraih pelbagai kejuaraan dalam kejohanan antarabangsa termasuk Siri Super Perdana dan Siri Super.

“Dulu dia menang banyak dalam kejohanan sebelum Sukan Olimpik tapi akhirnya tewas di perlawanan akhir Olimpik, jadi saya tidak mahu ia berulang.

“Saya mahu dia mencapai tahap kemuncak prestasinya pada masa yang tepat kerana matlamat utama adalah Sukan Olimpik,” katanya yang akan mengiringi Chong Wei ke Seluruh England dari 8 hingga 13 Mac ini bersama seorang lagi jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 8:14 AM