139 penerima anugerah gembira menunjukkan sijil mereka di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Tahun 2015 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan di Dewan Utama Bomba di Bandar Baru Tunjong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Kira-kira 10 panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi setiap jam, tahun lalu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan panggilan itu sebanyak 80,183.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, panggilan itu tidak hanya membabitkan kebakaran, sebaliknya kemalangan jalan raya, kehadiran binatang liar serta kes bantuan menyelamat khas.

"Tahun lalu juga, masa yang diambil untuk pihak bomba ke tempat kejadian dalam tempoh kurang 10 minit, adalah 44.46 peratus berbanding jumlah keseluruhan panggilan.

"Purata masa diambil untuk ke tempat kejadian bagi semua kes pula adalah 20 minit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Tahun 2015 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, hari ini.

Turut hadir di majlis itu, Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Azmi Osman dan timbalannya, Anwar Abu Bakar.

Mengenai fenomena El Nino, beliau berkata, pihaknya sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi situasi itu bermula Mac hingga Ogos tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 1:11 PM