Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Seramai 36,304 daripada 460,407 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini memperoleh keputusan Cemerlang iaitu semua gred A.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, peratusan calon yang mendapat semua Gred A pada tahun ini ialah 7.89 peratus berbanding tahun lalu 9.15 peratus, penurunan sebanyak 1.26 peratus.

Menurutnya, berdasarkan pecahan, seramai 16 Calon Berkeperluan Khas (CBK) memperoleh semua Gred A terdiri daripada satu calon buta, empat calon rabun, satu calon spastik dan 10 calon lain-lain kecacatan.

"Pencapaian keseluruhan calon UPSR tahun ini menurun sebanyak 0.02 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.27 mata GPN pada tahun lalu kepada 2.29 mata GPN pada tahun ini.

"Bagaimanapun, GPN pada tahun ini lebih baik jika dibandingkan dengan GPN 2011 dan 2012," katanya.

Katanya, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 10:34 AM