HIGUAIN (kiri) jaring gol penyamaan Napoli.
HIGUAIN (kiri) jaring gol penyamaan Napoli.
AFP

Milan: Gonzalo Higuain meraih gol ke-25 Serie A musim ini ketika Napoli mengekalkan cabaran memburu kejuaraan selepas seri 1-1 di Fiorentina, awal pagi semalam.

Napoli berdepan tekanan selepas juara bertahan Juventus mengukuhkan kedudukan di puncak liga kepada empat mata dengan kemenangan 2-0 ke atas Inter Milan, Ahad lalu.

Namun di sebalik menekan La Viola dalam aksi menarik di Artemio Franchi, perkongsian mata dengan Fiorentina yang dilihat berhak berada dalam kelompok tiga teratas untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan menyebabkan Napoli tidak merungut.

Napoli kekal di tangga kedua, tiga mata di belakang Juventus, dengan AS Roma dan Fiorentina kedua-duanya lima mata lagi di belakang di tangga ketiga dan keempat.

Jurulatih Napoli Maurizio Sarri berkata, ia perlawanan yang hebat namun mengakui: “Mereka berpeluang menang pada minit terakhir babak pertama, seperti kami juga pada minit terakhir babak kedua.

“Ia keputusan yang adil, kedua-dua pasukan tidak berhak kalah. Saya amat gembira dengan pemain saya dan pujian juga buat Fiorentina.”

Jurulatih Fiorentina Paulo Sousa tidak bersetuju, namun beliau teruja dengan satu lagi persembahan yang mengukuhkan peluang Fiorentina ke Liga Juara-Juara.

“Malangnya kami kurang bernasib baik,” jelas jurulatih Portugis itu.

“Tapi kami berada di landasan tepat bagi gol yang kami jaringkan. Dengan sedikit keazaman dan keperayaan, kami mahu bertanding menentang pasukan besar.”

Marcos Alonso meletakkan Fiorentina di depan selepas enam minit namun kesilapannya menyaksikan Higuain menyamakan kedudukan buat Napoli seminit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 8:42 AM