Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kemunculan anak pasangan selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya iaitu Lara Alana yang kini berusia setahun lapan bulan di pentas Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME 2016), Ahad lalu mencuri perhatian ramai.

Penampilan Lara bersama ibu bapanya itu antara yang dinanti penonton, apatah lagi selepas dia muncul dalam iklan promosi AME 2016 di TV bersama pengacara, pelakon dan pelawak, Jihan Muse.

Menurut Awal, pembabitan anaknya pada acara itu sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada Lara untuk bertemu orang ramai.

“Kemunculan Lara atas permintaan pihak stesen TV. Tambahan pula, kami memang mempunyai hubungan baik dengan mereka. Pada masa sama, kami boleh mendedahkan Lara kepada suasana yang ramai orang. Sebelum ini memang tidak pernah.

“Namun memandangkan Lara kali pertama dibawa ke acara sebegini, jadi dia sedikit meragam. Mungkin dia terkejut dengan suasana yang bising,” katanya.

Awal berkata, keputusannya bersama Scha menerima tawaran itu bukannya mahu meraih populariti.

“Saya melihat perkara ini secara terbuka. Apabila kami menerima tawaran diberikan, ini bermakna kami sudah bersedia mahu mendedahkan Lara ke dunia sebenar.

“Apa dilakukan jauh sekali nak mengejar glamor atau mencipta populariti. Sekurang-kurangnya kami dapat mendidik peminat cara terbaik mengawal anak jika berada di khalayak ramai,” katanya.

Melihatkan kepada penerimaan peminat terhadap Lara, Scha perlu akur anaknya itu disayangi ramai sehingga ada meluahkan rasa rindu jika tidak melihat gambar atau video Lara dalam sehari.

“Segala aktiviti Lara di Instagram dimuat naik oleh Awal. Sejak akaun Instagram itu diwu­judkan, ia sudah menjadi satu rutin wajib. Pada masa sama, ia boleh menjadi jurnal buat Lara. Sejak dia lahir sehingga sekarang, semua berkaitan dengannya dikemas kini di situ.

“Saya akui perkara itu membuatkan dia disayangi ramai. Jadi, tidak salah untuk berkongsi sesuatu yang bermanfaat untuk semua orang,” katanya.

Akaun Instagram Lara yang diwujudkan sejak dia dilahirkan itu kini mencatat jumlah pengikut seramai 1.5 juta orang.

Pernah nak sorok anak

Awal mengakui suatu ketika dahulu dia pernah cuba menyorok atau berahsia mengenai anaknya itu.

Ditambah dengan komen berbaur negatif daripada pengikut di laman sosial membuatkan pengacara Melodi ini kecewa.

“Ketika mula-mula membuka akaun Instagram Lara, terlalu banyak komen negatif. Ada saja perkara yang tidak kena di mata mereka.

“Disebabkan itu saya berfikir mahu memadamkan akaun berkenaan. Namun, masih ramai yang mahu mengetahui perkembangannya,” katanya.

Bagi Awal, setiap ibu bapa mempu­nyai cara berbeza mendidik dan membesarkan anak.

Justeru, Awal dan Scha bakal terbabit dalam program realiti berbentuk keibubapaan.

“Buat masa sekarang program ini masih dalam proses perbincangan. Cuma apa saya boleh katakan, program ini memaparkan tip penjagaan anak.

“Kami juga akan berkongsi cabaran membesarkan anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 11:18 AM