Ipoh: Seramai 2,847 murid atau 7.60 peratus daripada 37,479 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini tahun ini mencatat prestasi cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, bagaimanapun pencapaian berkenaan menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.89 peratus berbanding tahun lalu di mana seramai 3,249 calon atau 8.49 peratus memperolehi gred A bagi semua mata pelajaran.

Katanya, seramai 24,434 atau 65.19 peratus calon mencapai tahap pencapaian minimum gred C atau lulus di mana menunjukkan peningkatan sebanyak 65.19 peratus berbanding 63.77 peratus pada 2013.

"Secara keseluruhannya, Gred Purata Negeri (GPN) bagi tahun ini menurun sebanyak 0.02 daripada 2.29 tahun lalu kepada 2.31 tahun ini.

"Walaupun berlaku sedikit penurunan, kita dapat lihat peratusan calon mendapat pencapaian minimum telah meningkat sebanyak 1.42 peratus," katanya dalam sidang media ketika mengumumkan keputusan UPSR negeri di Sekolah Kebangsaan Marian Convent di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 1:58 PM