1. SEDIAKAN tanah liat, acuan bulat dan pin peniti.
2. CANAI tanah liat dengan ketebalan 0.5 sentimeter.
3. TEKAN dengan acuan bulat untuk membentuk asas muka.
4. AMBIL tanah liat berwarna kuning untuk membentuk rambut.
5. LETAK tanah liat rona kuning tadi pada asas muka.
6. BENTUKKAN bahagian mata dan hiasan kepala seperti bunga.
7. CUCUK pada jarum peniti dan bakar di dalam ketuhar pada suhu 129 darjah Celsius selama 10 minit.
8. PIN peniti ditambah dengan hiasan menarik untuk dipakai pada lilitan selendang.
9. IZYAN Hanum menunjukkan pin peniti yang siap ditambah dengan hiasan menarik.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Trend pemakaian selendang dalam kalangan generasi muda pada hari ini masih diminati. Pada masa sama, pemakaian pin tudung menjadi aksesori utama bagi menampilkan gaya yang kemas.

Terdapat banyak pilihan pin peniti di pasaran yang ditambah dengan pelbagai hiasan menarik seperti charm, reben, kain felt dan butang. Namun, jika mahukan kelainan dan tampak unik, boleh cuba hasilkan sendiri pin peniti tudung menggunakan tanah liat.

Menurut pemilik https://www.facebook.com/pages/Made-by-Hanum, Izyan Hanum Mohd Ibrahim, terdapat pelbagai jenis tanah liat di pasaran.

“Tanah liat jenis polimer lebih sesuai digunakan untuk menghasilkan hiasan pada pin peniti. Ini kerana proses pembakaran tanah liat yang siap dibentuk akan dilakukan bagi memastikan ia keras dan tahan lama.

“Sekiranya kita menggunakan tanah liat jenis lain, bentuk yang direka akan mudah berubah dan cair apabila dibakar. Satu lagi tanah liat yang popular ialah jenis ‘air dry’, namun ia juga tidak boleh digunakan untuk membuat perhiasan pada pin peniti.

“Walaupun ia boleh keras jika terdedah kepada udara, tanah liat jenis ini tidak tahan lama dan teksturnya yang agak lembut akan membuatkannya cepat rosak,” katanya.

Jelasnya, jika mahu menghasilkan hiasan pin peniti yang kemas dan cantik, pastikan tangan dalam keadaan bersih bagi mengelakkan sebarang kotoran ataupun habuk melekat, sekali gus menyebabkan hasilnya tampak comot.

Selain itu, gunakan bekas adunan yang licin untuk mendapatkan hiasan yang kemas dan terbentuk sempurna. Jika tanah liat terlalu keras, tambah sedikit dengan minyak rambut untuk melembutkan teksturnya.

Ini kerana tekstur tanah liat yang keras menyebab­kan rekaan menjadi retak. Pada masa sama, kombinasi warna juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan hiasan yang menarik.

Bagi anda yang mahu mencuba menghasilkan hiasan pin peniti yang unik ini, ikuti langkah mudah ditunjukkan Izyan Hanum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 12:52 PM