BANJIR kilat di Johor Bahru selepas hujan lebat bermula kira-kira 3 petang hari ini dikatakan berpunca daripada masalah saliran tidak lancar. FOTO ihsan pembaca Harian Metro
Oleh Mohd Fadh Rahmat

Johor Bahru: Seorang lelaki nyaris maut apabila terperangkap di dalam keretanya yang ditenggelami banjir kilat di Jalan Tebrau di sini, lewat petang ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Bencana dan Operasi Jabatan Pertahanan Awam Lefternan Muda Mohd Aziz Jupri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7 malam ini memaklumkan mengenai seorang lelaki yang terperangkap di dalam kenderaan yang hampir ditenggelami banjir.

“Sebuah ambulans dan empat anggota dikerah ke lokasi, bagaimanapun apabila sampai di tempat kejadian pemandu kereta yang tidak dapat dikenal pasti terbabit dikatakan terlebih dahulu menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, air dilaporkan naik mendadak di beberapa kawasan terutama sekitar Jalan Tebrau berikutan hujan lebat melanda bandar raya ini kira-kira jam 3 petang tadi.

"Anggota kami diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan banjir lebih buruk.

"Hasil pemeriksaan kami juga mendapati saluran di Jalan Terbrau tersumbat dan mengganggu aliran air hujan seterusnya menyebabkan banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 8:52 PM