Perpisahan Hrithik Roshan dengan bekas isterinya, Sussanne Khan dikatakan berpunca daripada Arjun Rampal yang dikatakan ada hubungan sulit dengan Sussanne.

Baru-baru ini, Hrithik yang masih sayangkan bekas isterinya turut membantu Sussanne menafikan yang dia ada hubungan cinta dengan Arjun kerana Arjun sendiri sudah beristeri dan kedua-dua keluarga itu juga adalah rakan rapat.

Dalam laman sosialnya, Sussanne menafikan sekeras-kerasnya yang dia rapat dengan Arjun dan hubungan mereka tidak lebih sebagai kawan saja.

"Sekarang tumpuan saya hanya pada perniagaan dan anak-anak. Arjun tidak termasuk langsung dalam agenda hidup saya," tegas Sussanne.

Perkembangan lain, ketika Sussanne meraikan kejayaan syarikat hiasan dalamannya, dia hanya mengundang Twinkle Khanna, Gauri Khan, Sonali Bendre dan Anu Bendre, manakala Arjun dan isterinya, Mehr Jesia Rampal tidak kelihatan.

Arjun juga khabarnya turut menafikan dia intim dengan Sussanne dan mempertahankan rumah tangganya bersama isteri yang kini amat bahagia.

"Kalau anda semua tahu yang akhbar menipu, pasti anda akan berhenti membeli dan membaca akhbar. Hey! Bombay Times, siapa yang bayar awak (untuk membuat fitnah terhadapnya dan Sussanne)," tegas Arjun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:00 AM