PEMAIN Liverpool meraikan gol di hadapan penjaga gol City Joe Hart.
AFP

Liverpool: Manuel Pellegrini enggan menerima hakikat yang menyebut impian Manchester City untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan semakin malap selepas kekalahan 0-3 di tangan Liverpool, kelmarin.

City memulakan musim ini sebagai pilihan untuk menjulang Liga Perdana dan dilihat tidak bermasalah mengisi salah satu slot dalam kelompok empat teratas.

Begitupun, zaman kejatuhan pasukan seolah-olah sudah tiba dan mereka tidak dapat menunjukkan aksi sebenar sambil jaringan Adam Lallana, James Milner dan Roberto Firmino menghadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut buat City.

City mungkin lebih menyinar dalam saingan Liga Juara-Juara dan mereka juga menundukkan Liverpool pada final Piala FA tetapi ketika ini, mereka berdepan risiko tercicir daripada kelompok teratas Liga Perdana.

Pellegrini meluahkan rasa kecewanya kerana anak buahnya tidak dapat melakukan persiapan sempurna pada perlawanan berkenaan gara-gara terpaksa mengharungi perjalanan pulang yang jauh dari Ukraine selepas kemenangan ke atas Dynamo Kiev dalam Liga Juara-Juara serta mengharungi final Piala FA di Wembley, Ahad lalu.

Tetapi pengurus City itu sedar kemenangan ke atas Aston Villa malam esok sangat penting jika mereka yang kini terikat menerusi jumlah mata sama dengan pasukan di tempat kelima, Manchester United selain ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Leicester, mahu kembali ke landasan sebenar.

“Saya tidak memikirkan soal gelaran atau layak ke Liga Juara-Juara. Apa yang penting adaslah perlawanan selepas ini,” kata Pellegrini.

“Kami perlu menang di tempat sendiri kerana tewas sepanjang tiga perlawanan sebelum ini dan itulah yang paling penting. Kami perlu meningkatkan prestasi dan mengumpul sebanyak mungkin mata.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 8:19 AM