Pemain pasukan Kedah Khairul Helmi (tiga, kiri) diraikan rakan pasukannya selepas menjaringkan gol menentang Kelantan di Stadium Darul Aman. FOTO BERNAMA
Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Kedah menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menewaskan Kelantan 5-4 menerusi sepakan penalti di Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Sebelum itu kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 120 minit permainan termasuk masa tambahan.

Kedah yang bermula garang pada minit-minit awal permainan gagal menembusi kekebalan barisan pertahanan Kelantan.

Beberapa percubaan yang dilakukan skuad Helang Merah hampa apabila tersasar dari gawang gol lawan yang dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Cubaan lemah Ahmad Fakri Sharani melewati sisi kanan tiang gol lawan pada m-14 sebelum tendangan leret Baddrol Bakhtiar pada min-15 terkena tiang gol walaupun penjaga gawang lawan sudah tertewas.

Kelantan yang sesekali melakukan serangan balas berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Jonathan McKain selepas menguis mudah untuk menewaskan M Farhan hasil hantaran Dramane Traore pada min ke34.

Sebaik babak kedua bermula, Kedah menghasilkan gol sulung menerusi Khairul Helmi yang menanduk masuk bola pada min 47 hasil sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.

Tempo permainan pantas kedua-dua pasukan yang melakukan asakan bertali-arus turut gagal mencipta gol apabila cubaan yang dilakukan tersasar.

Kedua-dua pasukan yang sering melakukan serangan balas juga hampa kerana kekentalan barisan pertahanan.

Permainan kemudian diteruskan ke masa tambahan turut buntu menghasilkan gol sebelum mengheret kepada penentuan sepakan penalti.

Kedah berjaya menjaringkan kelima-lima gol dalam penentuan sepakan penalti, manakala Kelantan hanya memperoleh empat jaringan selepas sepakan terakhir yang dilakukan Mohd Izuan tersasar dari gawang yang dikawal M Farhan Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 12:47 AM