AMIRUL (dua kiri) dibuang padang ketika menentang UiTM FC.
myMetro

Kuala Lumpur: Gara-gara bertindak ganas, pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Amirul Hadi Zainal terpaksa menanggung hukuman penggantungan dua perlawanan.

Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam yang mendapati pemain berusia 29 tahun itu melanggar Kod Tatatertib FAM 2015 selepas mengasari pemain UiTM FC Mohd Adib Rosli dalam perlawanan Piala FA di Stadium UiTM, Shah Alam pada 19 Februari lalu.

Pada perlawanan itu Amirul yang menyumbat satu gol untuk kemenangan 5-0 skuad Harimau Selatan dibuang padang pada minit ke-85.

Menerusi hukuman itu, dia terpaksa menjalani satu penggantungan perlawanan secara automatik bagi aksi Johor DT dengan Negeri Sembilan di Larkin malam tadi serta satu lagi perlawanan Liga Super menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 13 Mac ini.

Jika mengulangi kesalahan sama, pemain tengah itu boleh dikenakan hukuman lebih berat.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Tatatertib FAM juga membuat keputusan tegas dengan mendenda Sarawak dan Perak sebanyak RM25,000 serta beraksi tanpa penyokong dalam aksi Liga Super selepas ini.

Hukuman ke atas Sarawak dikenakan susulan tindakan ganas penyokong mereka membakar mercun, melontar objek ke dalam trek dan melontar batu ke arah bas pasukan FELDA United serta kereta pegawai perlawanan selepas tamat perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Negeri, Kuching pada 16 Februari lalu.

Hukuman beraksi tanpa penyokong dua perlawanan berkuat kuasa apabila anak buah Datuk K Rajagobal berdepan Kedah pada 12 Mac dan T-Team (9 April) dalam aksi Liga Super di laman sendiri.

Namun skuad The Bos Gaurus lebih bernasib baik apabila hukuman beraksi tanpa penyokong satu perlawanan hanya akan terlaksana serta merta andai penyokong mereka melakukan kesalahan sama dalam tempoh enam bulan ini.

Penyokong Perak sebelum ini mencetuskan kekecohan di luar stadium selepas tamat perlawanan Liga Super 2016 menentang Selangor di Stadium Ipoh, Perak pada 16 Februari lalu.

Turut tidak terlepas daripada hukuman Jawatankuasa Tatatertib FAM Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang terpaksa membayar denda RM10,000 atas kesalahan penyokong mereka membakar suar ketika perlawanan Piala FA dengan AirAsia Allstars FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 19 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:52 AM