HUSSAIN dan Halimah mengusahkan gerai Asam Pedas Komando di Taman Dagang.
Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Ampang: Mempunyai minat sama, suka memasak menimbulkan ilham kepada pasangan suami isteri mengusahakan asam pedas di Medan Selera Taman Dagang Avenue di sini, sejak lebih 10 tahun lalu dengan hanya bermodalkan RM500.

Kini walaupun sudah 10 tahun berlalu, gerai Asam Pedas Komando milik pasangan Hussain Abas, 72, dan isterinya Halimah Abd Wahab, 67, sentiasa dikunjungi ramai orang tidak kira dekat mahupun jauh dari luar Lembah Klang.

Keramahan kedua-duanya melayan kehadiran tetamu yang bertandang untuk menjamu selera, ditambah lagi wajah Hussain seiras aktor tersohor Hollywood Charles Bronson nyata menjadikan nama Asam Pedas Komando begitu istimewa bukan saja terletak pada keenakan rasanya.

Menurut bekas anggota pasukan khas itu, dia dan Halimah yang juga anak kelahiran Melaka mengusahakan perniagaan itu bagi mengisi masa lapang selepas masing-masing bersara dalam perkhidmatan awam.

“Pada mulanya kami buka gerai ini sekadar suka-suka bagi menghilangkan rasa bosan apatah lagi anak semua sudah besar dan berkeluarga.

“Lama-kelamaan tidak sangka alhamdulillah resepi asal isteri saya ini mendapat mendapat sambutan luar biasa bukan saja orang sini tetapi ada juga datang dari negeri lain sehingga kami perlu menyediakan 40 kilogram ikan sehari,” katanya.

Menurutnya, mereka memulakan operasi berniaga seawal jam 10 pagi hingga 10 malam dan kebiasaannya gerainya mampu memuatkan 50 pengunjung dalam satu masa terutama pada waktu tengah hari.

“Setiap hari saya akan bangun seawal jam 4 pagi, untuk memilih sendiri ikan segar di Pasar Pudu kerana saya begitu mementingkan kualiti.

“Isteri saya pula akan mengambil alih tugas memasak menu utama asam pedas dengan dibantu empat pekerja serta ada kalanya anak menantu turut datang membantu jika mereka kelapangan.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah pelanggan tetap, jadi saya hanya mengenakan harga berpatutan bermula RM9 mereka dapat merasa sepinggan nasi, sayur kobis goreng, ulaman dan sambal belacan serta menu utama asam pedas mengikut pilihan masing-masing seperti ikan jenahak, pari, kembong, tenggiri, mayong, parang atau daging tetel,” katanya.

Sementara itu, Halimah berkata, dia mempelajari ilmu memasak asam pedas sejak dari kecil menerusi ibunya menggunakan resipi turun temurun keluarga mereka dan kini menurunkan resipi berkenan kepada anak perempuannya Yusliza berusia 33 tahun.

“Jika boleh saya mahu resipi ini dikekalkan sampai bila-bila kerana ia lambang identiti keluarga kami turun temurun.

“Justeru itu, saya selalu berpesan kepada anak, kalau kami tiada terus usahakan perniagaan ini di samping mengekalkan rasanya dan kualitinya yang menjadi rahsia kejayaan Asam Pedas Komando sampai sekarang,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai pelanggan setia pasangan itu, Linda Hanim Othman, 42, dari Taman Maluri berkata, dia tidak jemu datang ke gerai berkenaan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan kerana keenakan rasa asam pedas mereka masih kekal sejak 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 6:29 AM