FOTO Muhaizan Yahaya
Hayati Ibrahim

Putrajaya: Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca dan penyebab keracunan makanan ke atas 37 individu di Batu Gajah, Perak.

Ini termasuk menjalankan ujian ke atas sampel klinikal, persekitaran, makanan dan air.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan tanda dan gejala yang dikesan pada kebanyakan pesakit, Pakar Klinikal dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam mengesyaki kemungkinan terdapat pencemaran bahan kimia pada makanan yang dibeli daripada gerai sama, pagi semalam.

"Keputusan makmal diterima sehingga 12 tengah hari ini, mendapati sembilan sampel darah diterima menunjukkan paras ujian cholinesterase dalam darah adalah rendah.

“Ini ini adalah petunjuk pendedahan kepada bahan kimia `organophosphorus’ (racun serangga).

"Namun, KKM kini terus menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca dan penyebab sebenar kejadian ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara tindakan sudah diambil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak adalah menjalankan siasatan di hospital dan rumah.

Selain itu, katanya, melakukan analisa ringkasan kes yang dikesan, menjalankan siasatan dan pemeriksaan di gerai yang terbabit dan pengendali makanan.

Pada masa sama, katanya, sampel makanan, persekitaran, klinikal, bekalan air di gerai terbabit dan tiga kilang pesakit bertugas juga sudah diambil untuk analisa lanjut.

Menurutnya, Bilik Gerakan di PKD Kinta dan Hospital Batu Gajah turut diaktifkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 3:59 PM