ANTARA babak menarik dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
ANTARA babak menarik dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
EJA turut buat penampilan dalam filem ini.
FAZURA bergabung bersama Ogy, Zaibo, Lisa dan Rykarl jayakan filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Oleh Ramlah Zainal

Bukan sekadar kisah cinta yang menyentuh hati, filem genre romantik komedi Manisnya Cinta Di Cappadocia (MCDC) yang diadaptasi daripada novel karya Anis Ayuni turut menyelitkan elemen kekeluargaan yang sesuai ditonton seisi keluarga.

Filem garapan pengarah kreatif Bernard Chauly ini terbitan bersama Global Station, Astro Shaw serta Red Films turut mempertaruhkan gandingan mantap aktres popular Nur Fazura dan Shaheizy Sam selaku teraju utamanya.

Barisan pelakon berkaliber yang turut menghidupkan jalan cerita ialah Lisa Surihani (Izelea), Faizal Hussein (Bakhtiar), Eja (Aida), Rafidah Abdullah (Dhivia), Fauziah Datuk Ahmad Daud (Mak Ifti), Zaibo (Ayah Ifti), Normah Damanhuri (Mak Long), Aida Khalida (Mak Su Ida), pelakon cilik Rykarl Iskandar dan ramai lagi.

Selaku pengarahnya, Bernard yang pernah menempa nama menerusi filem Gol & Gincu, Pisau Cukur dan Istanbul Aku Datang mengakui berdepan dengan cabaran mengangkat novel Manisnya Cinta ke layar lebar.

"Hasil perbincangan dan persetujuan dengan penulis novel Anis, Rafidah selaku penulis skrip dan lakon layar serta penerbit Global Station, Datin Zaiton Muhd Jiwa, pihak kami berjaya menghasilkan jalan cerita yang menarik untuk diangkat ke filem.

"Bagi menghasilkan visual yang lebih menarik untuk filem MCDC, pihak kami juga bekerjasama dengan Turkish Tourism untuk kembali ke negara bersejarah Turki untuk penggambaran di Cappadocia dan Anatolia.

"Proses penggambaran filem ini membabitkan tempoh sebulan dengan membabitkan lokasi sekitar Lembah Klang. Apa yang menarik, filem ini menampilkan Cappadocia iaitu lokasi romantik untuk pasangan kekasih dengan belon panas di tengah pemandangan indah di bumi Turki," katanya.

Pada masa sama, kata Bernard, dia berasa puas hati dengan komitmen terbaik yang diberikan semua barisan pelakon dalam merealisasikan filem berkenaan.

"Impian saya untuk bekerja buat kali ketiga dengan Fazura akhirnya kesampaian dalam filem ini. Penonton akan dapat menyaksikan kematangannya sebagai wanita Melayu menerusi watak utama iaitu Ifti Liyana.

"Kisah cinta Ifti semakin menarik dengan kemunculan tiga lelaki dalam hidupnya iaitu Nazmi, Bakhtiar dan Fredo," katanya.

Bernard ditemui pada majlis pratonton filem MCDC yang berlangsung di pawagam GSC Pavilion di sini, malam kelmarin. Hadir sama, Penerbit Global Station, Datin Zaiton Muhd Jiwa; Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, Naib Presiden Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai, pengasas Red Films, Lina Tan serta penulis novel Manisnya Cinta, Anis Ayuni.

Buat penonton menangis

Berbanding lakonannya sebelum ini, ternyata watak Ifti Liyana yang dilakonkan Nur Fazura dalam filem Manisnya Cinta di Cappadocia paling menyerlah dan berjaya mencabar lakonannya setakat ini.

Malah, ramai penonton yang tidak dapat menahan tangisan pada malam pra-tonton kerana terkesan de­ngan lakonan Fazura ketika menjiwai babak sedih Ifti Liyana yang terpaksa memutuskan hubungan cintanya dengan Najmi tanpa memberi peluang pada jejaka itu memberi penjelasan.

Ditanya sama ada kisah cinta Ifti itu ada persamaan dengan dirinya, Nur Fazura mengakui ia berlaku hanya secara kebetulan saja.

"Saya dapat menjiwai babak menangis itu dengan baik sekali mungkin berdasarkan pengalaman dalam hidup sebelum ini. Watak Ifti juga menyerlahkan diri saya yang lebih matang dan memiliki sifat keibuan.

"Apapun, saya gembira bila babak sedih Ifti putus cinta itu turut meninggalkan kesan mendalam pada penonton sekali gus menyuntik semangat untuk menampilkan lakonan yang lebih baik lagi," kata­nya.

Bagi Sam pula, dia akui sangat bertuah kerana dapat bekerja dengan barisan tenaga produksi yang hebat seperti Red Films yang memang dikenali dengan hasil karyanya yang bagus.

"Kejayaan sesebuah filem turut bergantung pada naskhahj yang bagus, produksi, pengarah dan barisan pelakon yang hebat dan semuanya ada dalam MCDC. Selain barisan pelakon terbaik seperti Fazura dan Lisa, saya juga menimba pengalaman berharga bekerja dengan pengarah yang berkaliber seperti Bernard ," katanya.

Pada masa sama, Sam mengakui selesa bekerjasama dengan Fazura kerana pernah bekerjasama dengannya dalam drama bersiri, Kisah Cinta untuk Slot Lestary TV3, sebelum ini.

"Paling mencabar ialah untuk menjiwai babak romantik di mana Nazmi ingin melamar Ifti di Cappadocia.

Maklumlah, saya bukanlah lelaki yang romantik dan bermacam perasaan berbaur dalam hati ketika itu.

"Selain gementar, suara saya turut bergetar ketika mengucapkan dialog romantik Nazmi kepada ifti kerana menahan cuaca sejuk ketika penggambaran berkenaan," katanya.

Filem Manisnya Cinta Di Cappadocia mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 11 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:02 AM