PEMAIN Tok Gajah Faizal Abd Halim (kanan) dikekang pemain Sime Darby Akmal Zahir di Stadium Darul Makmur, semalam.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Impian Pahang melangkah ke suku akhir Piala FA berkubur selepas tewas 0-1 kepada Sime Darby FC di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Jaringan awal yang disempurnakan pasukan dari Liga Perdana itu sekali gus memadam impian skuad Tok Gajah berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Pada perlawanan itu, Sime Darby FC mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Syed Sobri Syed Mohamad yang menewaskan penjaga gol Pahang Saufi Mohamad seawal minit kelima.

Ketinggalan satu gol, Pahang berusaha mencari gol penyamaan dan beberapa percubaan dilakukan tetapi, jentera pertahanan lawan mantap menutup ruang.

Peluang terbaik hadir melalui percubaan pemain tengah, D Saavindran tetapi, bola sekadar melepasi palang pada minit ke-13.

Sebaliknya, Sime Darby FC yang jarang melakukan serangan sesekali menguji pertahanan Pahang namun keputusan kekal sebaik aksi separuh masa pertama tamat.

Bersambung babak kedua, skuad Tok Gajah melancarkan serangan ke kubu lawan dan hampir menyamakan kedudukan hasil rembatan German Pacheco tetapi, penjaga gol Sime Darby FC Faridzuean Kamaruddin menepis keluar bola pada minit ke-50.

Permainan bertahan yang dipersembahkan Sime Darby FC berjaya mengecewakan skuad tuan rumah yang tertekan mahukan kemenangan.

Ternyata tuah jaringan awal memastikan Sime Darby FC mara ke suku akhir sambil menyaksikan cabaran Pahang berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:07 AM